Skip to main content

Singapura

4 syarikat pembekal dilarang import telur dari M'sia setelah gagal patuh syarat lesen

 Empat syarikat pemborong telur yang menyumbang sekitar 30 peratus daripada bekalan keseluruhan telur Singapura disekat dari mengimport dari Malaysia mulai 20 Julai, setelah gagal mematuhi syarat lesen.

Anggaran Waktu Membaca:
4 syarikat pembekal dilarang import telur dari M'sia setelah gagal patuh syarat lesen

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 28 Jul 2020 10:50AM Dikemas Kini : 28 Jul 2020 10:55AM

SINGAPURA: Empat syarikat pemborong telur yang menyumbang sekitar 30 peratus daripada bekalan keseluruhan telur Singapura disekat dari mengimport dari Malaysia mulai 20 Julai, setelah gagal mematuhi syarat lesen.

Pihak berkuasa telah menguatkuasakan syarat itu dalam usaha untuk meningkatkan kepelbagaian bekalan telur.

Bagaimanapun, tiada keperluan untuk "menyimpan bekalan atau berebut-rebut membeli", menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), kerana 32 pengimport telur lain boleh terus mengimport seperti biasa dan ladang ternakan Singapura mengeluarkan 26 peratus bekalan telur negara tahun lalu.

"Terdapat bekalan telur yang mencukupi untuk memenuhi permintaan biasa dari para pengguna kerana kebanyakan pengimport telur boleh terus mengimport seperti biasa. Kami sedang memantau pasaran dengan teliti."

Pihak berkuasa memperkenalkan satu rejim pelesenan baru pada April tahun lalu yang memerlukan para pengimport mengemukakan rancangan kesinambungan perniagaan (BCP).

SFA menyatakan usaha mempertingkatkan daya tahan bekalan telur Singapura dan industri adalah penting kerana "lebih 70 peratus telur kami" adalah dari sumber yang tunggal.

Mendapatkan telur daripada sumber yang berbagai adalah antara strategi yang boleh dilaksanakan para pengimport sebagai sebahagian daripada BCP mereka, menurut SFA. Strategi lain termasuk mengesahkan kontrak penahan dengan sumber lain atau menyimpan bekalan penimbal.

Satu pilihan adalah mengimport sekurang-kurangnya 15 peratus daripada barangan mereka dari negara-negara selain sumber utama mereka, yang dilakukan oleh banyak pengimport.

Mediacorp mendapat tahu bahawa para pengimport yang tidak dapat memenuhi sasaran BCP mereka adalah Ming Kee Egg Supplies, Hup Seng Fresh Eggs Supplier, Premium Egg Products dan Green-Tech Egg Industries.

Tanpa mendedahkan pihak-pihak tersebut, SFA memberitahu Mediacorp bahawa empat pengimport "melakukan usaha dan membuat kemajuan terhad" dalam memenuhi BCP mereka dan oleh itu, ia tidak lagi akan meluluskan permit mereka bagi mengimport telur dari sumber utama mereka.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita