Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 studio muzik jadi kelompok terkini sokong kempen Dadah Itu Haram

Kempen Dadah Itu Haram terus mendapat sokongan padu masyarakat dengan empat studio muzik menjadi yang terkini menyertai gerakan antidadah itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kempen Dadah Itu Haram terus mendapat sokongan padu masyarakat dengan empat studio muzik menjadi yang terkini menyertai gerakan antidadah itu.

Biro Narkotik Pusat (CNB) juga mendedahkan bahawa kini lebih 320 premis perniagaan, termasuk kedai makan dan perniagaan lain, menyokong kempen antidadah itu.

Ini pertambahan besar berbanding semasa baru-baru dimulakan pada September tahun lalu di mana sekitar 200 premis perniagaan menyokong inisiatif Dadah Itu Haram.

Respons menggalakkan ini, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, mencerminkan bahawa mesej 'Dadah Itu Haram' sememangnya dipegang teguh orang ramai yang berhasrat melihat Singapura menjadi sebuah masyarakat bebas dadah.

LEBIH BAIK TERJEBAK MUZIK, JANGAN TERJEBAK DADAH

Hujung minggu tiba lagi dan seperti kebanyakan orang, kumpulan Singa Ragga juga meluangkan masa bersantai dengan aktiviti kegemaran mereka - 'jamming'.

Namun, perjumpaan mereka kali ini tambah bermakna kerana mereka didedahkan dengan mesej Dadah Itu Haram yang disokong studio muzik tempat mereka sering 'jamming' iaitu di Reza Global Productions dekat Jalan Pemimpin.

"Lebih baik kita terjebak dalam muzik sebab muzik dapat menenangkan hati kita macam lagu-lagu reggae kita dapat rilek-rilek. Saya rasa ia lebih baik dan lebih sihat kita terjebak dalam muzik daripada terjebak dalam dadah," kata Encik Ahin Yasin, penyanyi Kumpulan Singa Ragga.

Dendangan lagu-lagu yang dimainkan Singa Ragga turut dihayati Encik Amrin selaku tetamu khas yang disertai 15 sukarelawan daripada kumpulan Singapore Malay Smulers.

Studio itu merupakan antara empat studio 'jamming' yang menyokong kempen Dadah Itu Haram. Tiga daripada 'port' muzik itu dikunjungi Encik Amrin serta aktivis antidadah malam semalam bagi menyampaikan mesej bebas dadah.

"Saya bukan buat untuk diri saya. Saya buat untuk anak-anak saya, untuk keturunan dan generasi yang akan datang," ujar Encik Ruzaini Hassan, anggota kumpulan Singapore Malay Smulers yang menjadi sukarelawan Dadah Itu Haram.

CARI RUANG DEKATI MASYARAKAT, BELIA - TERAS UTAMA KEMPEN DADAH ITU HARAM

Pemilihan studio-studio muzik sebagai satu lagi wadah menyebarkan mesej 'Dadah Itu Haram', kata Encik Amrin, sejajar dengan teras utama kempen tersebut untuk berada di mana sahaja ramai orang Melayu berkumpul.

Sungguhpun jumlah pesalah dadah Melayu merosot daripada sekitar 1,740 pada 2015 kepada sekitar 1,620 tahun lalu, ia kekal tinggi berbanding pesalah dari masyarakat lain.

Demikian berdasarkan statistik Biro Narkotik Pusat (CNB) tentang penyalahgunaan dadah mengikut pecahan kaum di Singapura.

Lebih membimbangkan, dua pertiga pesalah dadah baru adalah anak-anak muda yang berusia di bawah 30 tahun.

Memandangkan studio-studio muzik seperti Reza Global Productions dikunjungi 1,500 pelanggan sebulan dan kebanyakannya adalah belia, Encik Amrin melihat sokongan perniagaan sebegini amat penting untuk menyebarkan mesej antidadah secara lebih berkesan.

Studio-studio muzik lain yang menyokong kempen tersebut ialah Asry Sound Production, Wee Lee Music Centre dan Sled Productions.

"Yang penting juga adalah siapa yang menyampaikan mesej ini. Bukan pihak CNB sahaja tetapi semua orang biasa sama-sama percaya tentang mesej ini dan juga mereka ambil peduli," hujah Encik Amrin.

"Ini adalah satu usaha yang berterusan di mana kita harus sentiasa mendekati belia, mencari ruang-ruang di mana belia-belia dan masyarakat berkumpul supaya mesej ini tidak dapat dilupakan," tambah beliau yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan.
Encik Amrin juga berharap premis-premis perniagaan akan terus memainkan peranan lebih aktif demi mencapai sebuah masyarakat yang bebas dadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan