Skip to main content

Singapura

4 stesen Caltex tawar khidmat cas pantas kereta elektrik

Tidak lama lagi empat stesen minyak Caltex akan menawarkan khidmat mengecas pantas bagi kenderaan elektrik menerusi kerjasama antara SP Group dengan Chevron Singapore.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Mar 2021 05:08PM Dikemas Kini : 22 Mar 2021 11:08PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi empat stesen minyak Caltex akan menawarkan khidmat mengecas pantas bagi kenderaan elektrik menerusi kerjasama antara SP Group dengan Chevron Singapore.

Empat stesen itu - yang terletak di 3700 Yishun Ring Road, 78 Changi Road, 100 Jurong West Avenue 1 dan 130 Dunearn Road - akan memasang alat pengecas itu menjelang suku kedua tahun ini.

"Stesen-stesen khidmat Caltex ini akan dilengkapi dengan alat pengecas tenaga langsung (DC) 50kW yang boleh mengecas kenderaan elektronik (EV) dalam masa 30 minit berbanding beberapa jam seperti alat pengecas tenaga berganti (AC) sedia ada," menurut SP Group dan Chevron dalam kenyataan medianya hari ini (22 Mac).

Tiga stesen tersebut akan dilengkapi dengan satu alat pengecas pantas DC 50kW.

Stesen keempat, di Changi, akan menyediakan dua alat pengecas pantas DC yang membolehkan kenderaan elektrik dicas sehingga 100kW, jika hanya satu kenderaan yang menggunakan alat tersebut.

Khidmat mengecas itu akan diserapkan ke dalam aplikasi mudah alih SP Utilities. Para pemandu boleh menggunakan aplikasi itu untuk mengetahui lokasi pengecas terdekat, menerima kemas kini masa nyata tentang sesi mengecas mereka dan membuat pembayaran.

"SP dan Caltex akan mengkaji corak dan penggunaan alat pengecas EV di stesen-stesen untuk memperhalusi dan mempertingkat akses serta penggunaan serta merancang untuk mengadakan lebih banyak tempat dan lokasi pengecas," menurut syarikat itu.

"Sasaran kami ialah untuk membangunkan rangkaian terbesar pengecas awam EV serta memperluas huraian-huraian bersepadu bagi pergerakan mesra alam sekitar," kata CEO SP Group Stanley Huang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat menyatakan dalam Belanjawan pada bulan Februari bahawa Singapura merancang untuk menggalak penggunaan kenderaan elektrik.

Pemerintah akan memperuntukkan S$30 juta sepanjang lima tahun akan datang bagi inisiatif-inisiatif berkaitan kenderaan elektrik, seperti mempertingkat prasarana mengecas dan memasang alat pengecas di premis-premis privet.

Singapura menyasarkan untuk mempunyai 60,000 tempat mengecas di tempat meletak kereta awam dan premis privet menjelang 2030, lebih seganda berbanding sasaran awal iaitu 28,000.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita