Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 siswa universiti terima Anugerah Pengajian Kerja Sosial MUIS tahun ini

Dua mahasiswa dan dua lulusan diploma menerima Anugerah Pengajian Kerja Sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bernilai antara S$7,000 hingga S$8,000 setiap seorang pada tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
4 siswa universiti terima Anugerah Pengajian Kerja Sosial MUIS tahun ini

(Dari kiri) Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen, Muhammad Haiqal Sari, Siti Nur Adilah Hashim, Siti Aminah Surani, Muhammad Fayyadh Rahmat dan Presiden LBKM Suhaimi Salleh. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Dua mahasiswa dan dua lulusan diploma menerima Anugerah Pengajian Kerja Sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bernilai antara S$7,000 hingga S$8,000 setiap seorang pada tahun ini. 

Anugerah tersebut diberikan kepada para pelajar yang bercita-cita untuk mendalami pengetahuan serta meningkatkan kemahiran dalam bidang kerja kemasyarakatan dan khidmat sosial.

Tahun ini masuk tahun ketiga anugerah itu diberikan kepada penerima, sedang MUIS terus memperluaskan sokongan kewangan kepada pelajar-pelajar layak yang meneruskan pengajian dalam bidang tersebut.

Di bawah skim anugerah tersebut, MUIS pada 2019 memberikan geran sebanyak S$150,000 kepada Lembaga Biasiswa Kenangan Maulid (LBKM) yang bertanggungjawab menguruskan pengagihannya. 

Ia sebagai sebahagian daripada usaha MUIS untuk meningkatkan penyertaan dan kepakaran masyarakat dalam menyediakan khidmat sosial. 

Sokongan berbentuk anugerah ini bertujuan untuk menggalak rangsangan lebih besar dalam dinamik sosial masyarakat Muslim setempat melalui mutu pendidikan selain melentur golongan muda untuk menjadi anak watan yang berbakti kepada masyarakat.

Ketua Eksekutif MUIS Kadir Maideen dan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulid (LBKM) Suhaimi Salleh menyampaikan anugerah kepada empat penerima itu dalam satu majlis yang diadakan di Akademi MUIS pada 12 Mei lalu. 

"Sektor khidmat sosial membolehkan saya untuk berinteraksi secara langsung dan menghulurkan bantuan kepada ramai individu serta kumpulan yang berbeza. Ia cukup rencam sehingga terdapat begitu banyak peranan yang boleh saya pilih untuk dimainkan," kata seorang penerima anugerah, Siti Nur Adilah yang melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan kepujian di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tiga penerima anugerah lain ialah Muhammad Fayyadh Rahmat (Sarjana Muda Kerja Sosial, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS)), Muhammad Haiqal Sari (Graduan Diploma dalam Kerja Sosial, SUSS) dan Siti Aminah Surani (Graduan Diploma dalam Kerja Sosial, SUSS). 

Dalam ucapannya, Encik Kadir menekankan betapa perubahan demografik Singapura sudah membawa kesan kepada peranan yang dimainkan oleh pekerja sosial. 

Beliau berkata peranan mereka berubah untuk memastikan ia terus memenuhi keperluan yang kian berubah-ubah, khususnya golongan yang membutuhkan bantuan. 

"Peranan pekerja sosial sudah berkembang dengan ketara agar mereka yang tidak diberi perhatian, mereka yang kurang diberi tumpuan serta golongan mudah terjejas diwakili dan mempunyai tempat sandaran tatkala mengharungi masa sulit. Sumbangan pekerja sosial dalam masyarakat kita amat besar," ungkap Encik Kadir.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada LBKM atas sokongan yang dihulurkan dalam mentadbir urus pengagihan geran berbentuk anugerah menerusi inisiatif tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan