4 sekolah rintis program tingkatkan usaha lindungi alam sekitar
Tidak lama lagi, para pelajar tempatan akan dapat menimba ilmu tentang isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan jaminan bekalan makanan.
SINGAPURA: Tidak lama lagi, para pelajar tempatan akan dapat menimba ilmu tentang isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan jaminan bekalan makanan.
Ini dilakukan apabila mata pelajaran berhubung kemampanan disepadukan ke dalam sukatan pelajaran sains dan ilmu kemanusiaan.
Empat sekolah di sini akan merintis sebuah program dengan meningkatkan usaha-usaha melindungi persekitaran sedia ada, sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030.
Para pelajar akan dapat menghadiri kelas biologi di kawasan hutan yang terletak di pekarangan sekolah.
Bagi Sekolah Menengah Commonwealth, satu kawasan seluas hampir dua kali ganda saiz sebuah gelanggang bola keranjang, akan menjadi 'bilik darjah' bagi sebahagian mata pelajaran.
Sekolah itu menempatkan enam habitat eko.
Antaranya, sebuah kawasan paya di mana para pelajar melakukan kerja lapangan seperti mengukur paras asid dalam air.
Ia sebahagian daripada usaha menggalakkan para pelajar mendekati alam semulajadi dan mempelajarinya dengan lebih dekat lagi.
"Kami ingin pelajar melihat bahawa kehijauan ataupun kehidupan menghijau adalah cara hidup mereka yang baru. Membudayakannya bukan saja di sekolah tetapi juga di rumah mereka. Kadang-kadang kita lihat bagaimana anak-anak muda kita terlalu selesa dengan alat hawa dingin misalannya apabila mereka pulang ke rumah.
"Kami ingin mereka membudayakan kehidupan di mana mereka mengurangkan penggunaantenaga kuasa. Mereka juga boleh menjayakan kehidupan kitar semula, kita membudayakan gaya hidup menghijau," kata Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman.
Program Teraju Eko bakal diperkenalkan di semua sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga pra universiti.
Menurut Dr Maliki, sekolah-sekolah akan dipertingkatkan dengan ciri-ciri kelestarian atau kemampanan termasuk menambah jumlah pokok dan menggunakan teknologi yang mengurangkan penggunaan tenaga.
Sekolah Menengah Commonwealth adalah salah satu daripada empat sekolah yang akan merintis konsep kemampanan itu.
Program perintis itu, yang akan dijalankan sehingga tahun 2023, bakal melakar dasar-dasar persekitaran sekolah serta menguji sumber-sumber pelajaran.
Ia juga bertujuan menggalak para pelajar mengamalkan tabiat-tabiat seperti mengurangkan penggunaan tenaga dan sisa makanan.
Pusat Sains Singapura akan bekerjasama dengan sekolah untuk melaksanakan latihan bertemakan kemampanan dan program mentor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.