4 remaja ditahan rosakkan harta benda awam di estet kejiranan Punggol
Contengan di tempat letak kenderaan serta kawasan sekitar Blok 325 Sumang Walk di Punggol. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)
SINGAPURA: Empat remaja berusia 13 hingga 14 tahun ditahan pada Ahad (13 Nov) berkaitan dengan satu kes kerosakan harta benda awam di Punggol.
Pasukan Polis Singapura (SPF) memberitahu Mediacorp pada Isnin bahawa pihaknya dimaklumkan tentang insiden itu, yang berlaku di Blok 325A Sumang Walk, pada pukul 2.40 pagi Ahad.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Mediacorp melawat tempat kejadian dan mendapati tempat letak kenderaan di Blok 325 Sumang Walk berserta beberapa motosikal juga dirosakkan.
Tulisan dan lukisan dalam cat merah dilihat dicontengkan di tempat letak kenderaan itu.
Ia termasuk tanda "Atas" dan "Bawah" dengan kata lawannya diconteng di bawah.
Kata-kata kesat juga dilihat dicontengkan di tembok-tembok tempat letak kenderaan tersebut.
Ruang bersenam di estet berkenaan juga dirosakkan, namun Mediacorp mendapati kesan catnya kurang menonjol seolah-olah ia sudah dibersihkan.
Seorang pekerja pembersihan yang ditemui Mediacorp berkata pekerja pembersihan sudah mengecat tembok-tembok yang dirosakkan di Blok 323A dan membersihkan lif blok berkenaan pada Isnin, yang juga diconteng dengan kata-kata maki hamun.
Beliau menambah contengan di tempatan letak kenderaan itu akan ditanggalkan pada Isnin.
Mediacorp sudah menghubungi Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol untuk mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.