4 rakyat SG ditangkap di Vietnam atas dakwaan terlibat dalam sindiket edar vape mengandungi dadah
Kumpulan itu, yang termasuk empat warga Singapura dan empat rakyat Malaysia, ditangkap kerana didakwa mengendalikan rangkaian pengedaran dadah dari Ho Chi Minh. (Gambar: Polis Bandar Raya Ho Chi Minh)
- Polis Vietnam menahan 65 individu, termasuk warga Singapura, Malaysia dan Taiwan, kerana terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui pod rokok elektronik.
- Sindiket ini diketuai Melvin Tan Junjie dari Singapura dan Hoo Jia How dari Malaysia, yang menyuntik etomidate ke dalam kartrij rokok elektronik.
- Serbuan di Cau Ong Lanh, Bandar Ho Chi Minh, dilakukan selepas siasatan dan pengawasan berminggu-minggu, dengan rampasan lebih seribu kartrij dan cecair narkotik.
- Etomidate, yang diklasifikasikan sebagai narkotik di Vietnam, menyebabkan kesan sampingan berbahaya dan produk ini dijual kepada pelanggan tempatan serta asing.
Suspek termasuk empat rakyat Singapura, empat rakyat Malaysia, dan dua rakyat Taiwan, kata Bahagian Siasatan Jenayah Dadah Jabatan Polis Bandar Ho Chi Minh dalam satu kenyataan pada Sabtu (1 Ogos).
Menurut pihak berkuasa, rakyat Singapura Melvin Tan Junjie, 30, dan warga Malaysia Hoo Jia How, 30, didakwa menjadi ketua sindiket itu.
Mediacorp telah menghubungi Pasukan Polis Singapura dan Kementerian Ehwal Luar untuk mendapatkan komen.
Siasatan bermula pada awal Julai selepas para pegawai mengesan tanda-tanda operasi itu, kata pihak berkuasa.
Susulan pengawasan selama berminggu-minggu, polis menyerbu sebuah rumah sewa di Cau Ong Lanh, sebuah daerah di Bandar Ho Chi Minh, dan memberkas Tan dan Hoo. Mereka turut merampas 1,331 kartrij rokok elektronik dan 140ml cecair yang dicampur etomidate.
Seorang lagi rakyat Singapura, Oh Jang Fong, yang dituduh membekalkan cecair etomidate yang digunakan untuk mengisi kartrij berkenaan, diberkas kemudian.
Serbuan lanjut juga berjaya membongkar dua lagi rangkaian pengedaran, dengan 65 orang ditangkap secara keseluruhannya, kata polis.
Etomidate adalah ubat bius yang semakin disalahgunakan, dengan membubuhnya ke dalam cecair rokok elektronik.
Ia diklasifikasikan sebagai bahan narkotik di Vietnam awal tahun ini.
Apabila dihidu, ia cepat diserap ke dalam aliran darah dan menjejaskan otak.
Penggunanya telah melaporkan kesan seperti rasa mengantuk yang melampau, kurang sedar tentang keadaan sekeliling, pening, pertuturan yang tidak jelas dan perlahan, serta sukar berjalan. Ia boleh menyebabkan kematian dalam kes yang teruk.
Pihak berkuasa mendakwa bahawa kumpulan itu telah menyuntik dadah ke dalam pod rokok elektronik sebelum mengedarkan produk itu melalui pengedar tempatan.
Pod tersebut dijual kepada pelanggan Vietnam dan warga asing, dengan sesetengah pembeli didakwa menjualnya semula atau menganjurkan aktiviti penggunaan dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.