Skip to main content

Singapura

4 rakyat SG dibawa keluar dari Iran sejak konflik dengan Israel tercetus; 7 lagi dibantu keluar: MFA

Empat rakyat Singapura sudah dibawa keluar dari Iran, manakala tujuh lagi menerima bantuan untuk keluar dari negara itu berikutan konflik antara Iran dan Israel, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (23 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
4 rakyat SG dibawa keluar dari Iran sejak konflik dengan Israel tercetus; 7 lagi dibantu keluar: MFA

Kedutaan Singapura di Muscat dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA: Empat rakyat Singapura sudah dibawa keluar dari Iran, manakala tujuh lagi menerima bantuan untuk keluar dari negara itu berikutan konflik antara Iran dan Israel, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (23 Jun).

Sebuah keluarga tiga beranak rakyat Singapura dibawa keluar dari ibu kota Iran, Tehran, ke Muscat, Oman bersama sekumpulan warga Oman dan warga asing lain.

Secara berasingan, seorang lagi rakyat Singapura dibawa keluar bersama sekumpulan warga Malaysia dan warga asing lain dari Iran ke Ashgabat, Turkmenistan.

Pada Ahad, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kumpulan tersebut terdiri daripada seorang warga Singapura, 17 warga Malaysia dan enam warga Iran yang merupakan ahli keluarga kepada warga Malaysia.

Mereka melintasi sempadan Iran–Turkmenistan pada Sabtu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines.

MFA Singapura menyatakan bahawa pihaknya memberi bantuan konsular kepada rakyat Singapura di Iran, termasuk meneliti pilihan untuk membawa mereka keluar, memandangkan tiada misi diplomatik Singapura di negara itu.

“Kedutaan Singapura di Muscat dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan pemerintah tuan rumah dan rakan sejawatannya untuk memudahkan usaha membawa keluar rakyat Singapura dari Iran,” menurut MFA pada Isnin, sambil menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Oman dan Malaysia.

“MFA juga telah memberi bantuan konsular yang diperlukan kepada tujuh rakyat Singapura lain di Iran yang telah meninggalkan negara itu melalui sempadan darat Iran–Armenia dan pelabuhan Bandar Abbas ke Amiriah Arab Bersatu.”

Pada 13 Jun, MFA menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Iran.

“Rakyat Singapura yang berada di Iran harus sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan semasa dengan teliti dan menimbangkan untuk keluar secepat mungkin,” menurut makluman perjalanan tersebut.

“Singapura tidak mempunyai misi diplomatik di Iran, dan ini menghadkan keupayaan kami untuk memberi bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan.”

Mengulas mengenai situasi di Timur Tengah, jurucakap MFA turut menyatakan pada 13 Jun bahawa tiada rakyat Singapura dilaporkan cedera di Israel mahupun Iran.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita