4 perkhidmatan bas ulang alik disediakan di stesen-stesen MRT dengan waktu operasi lebih pendek
Empat khidmat bas ulang alik akan disediakan sepanjang jalan stesen-stesen MRT di laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL) yang terjejas dengan waktu operasi lebih pendek pada bulan Disember, menurut SMRT dalam kenyataan media hari ini (27 Nov).
SINGAPURA: Empat khidmat bas ulang alik akan disediakan sepanjang jalan stesen-stesen MRT di laluan Utara-Selatan (NSL) dan Timur-Barat (EWL) yang terjejas dengan waktu operasi lebih pendek pada bulan Disember, menurut SMRT dalam kenyataan media hari ini (27 Nov).
Bas-bas itu akan mengenakan tambang sama seperti tambang kereta api. Perkhidmatan di empat laluan itu akan tiba setiap tiga hingga lima minit pada waktu sibuk, dan lima hingga 10 minit di luar waktu sibuk:
- Laluan 1: Outram Park ke Jurong East (dua hala)
- Laluan 2: Jurong East ke Joo Koon (dua hala)
- Laluan 3: Joo Koon ke Tuas Link (dua hala)
- Laluan 4: Jurong East ke Choa Chu Kang (dua hala)
Syarikat pengendali kereta api itu sebelum ini mengumumkan bahawa 17 stesen di EWL dan dua stesen di NSL akan ditutup sepenuhnya pada 10 dan 17 Disember.
Selain itu, dari 8 hingga 31 Disember, 17 stesen EWL dari Tiong Bahru hingga Tuas Link, serta stesen Bukit Batok dan Bukit Gombak di NSL, akan ditutup lebih awal pada setiap Jumaat dan Sabtu (pada jam 11.00 malam) dan dibuka lebih lambat pada setiap Sabtu dan Minggu (pada jam 8.00 pagi).
SMRT menyatakan kakitangannya akan dikerahkan ke perhentian-perhentian bas untuk membantu para penumpang dari 8 hingga 31 Disember.
Penutupan dua hari dan waktu operasi lebih pendek itu diumumkan susulan insiden perlanggaran dua kereta api di stesen MRT Joo Koon pada 15 November. Nahas yang mencederakan 38 orang itu, disebabkan masalah sofwe pada sistem isyarat EWL.
SMRT menyatakan dengan waktu operasi lebih pendek, akses untuk kerja-kerja kejuruteraan ditambah dari tiga jam kepada tujuh setengah jam setiap malam.
"Dengan masa untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan lebih panjang pada bulan Disember, kerja-kerja pembaikan isyarat di EWL dapat diselesaikan lebih awal iaitu pada Jun 2018, berbanding akhir tahun 2018," tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif kereta api SMRT Lee Ling Wee berkata waktu operasi lebih pendek yang pernah diadakan sebelum ini dapat memberi pasukan kejuruteraan "masa berharga untuk menjalankan kerja-kerja di landasan dan prasarana kereta api". Beliau menambah, beberapa bahagian rangkaian MRT yang sudah menjalani kerja-kerja naik taraf "sudah memenuhi keperluan penumpang dengan baik".
"Pasukan kejuruteraan kami akan menggunakan waktu tambahan itu dengan sebaik-baiknya untuk melakukan ujian isyarat dan kereta api, serta kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf pada landasan kereta api," kata Encik Lee.
Maklumat lanjut tentang penutupan dan perkhidmatan bas ulang alik boleh didapatkan di laman rasmi SMRT dan platform media sosialnya serta di stesen-stesen dan kereta api.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.