Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 perkara dibahaskan di Parlimen yang perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bekerja 24 jam setiap hari demi menangani lonjakan permohonan bagi pasport. Ini termasuk tenaga kerja yang dikerah untuk bantu dari unit-unit lain.

Maklumat itu dikongsi sebagai menjawab satu soalan yang dikemukakan bagi sesi Parlimen pada Isnin (4 Jul), berhubung purata masa menunggu bagi rakyat Singapura yang memohon bagi pasport antarabangsa.

Soalan-soalan lain yang difailkan Anggota Parlimen (AP) termasuk soal berkaitan pendaftaran prasekolah, insiden kebakaran di rumah serta peningkatan kesalahan membuang sampah sembarangan dalam separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berikut adalah beberapa sedutan jawapan bertulis bagi soalan-soalan tersebut:

1. Purata masa menunggu bagi pasport Singapura

Soalan AP Bukit Batok Murali Pillai

- Berapa lamakah purata masa menunggu bagi mereka yang memohon untuk mendapatkan pasport mereka pada April, Mei dan Jun?

- Berapa ramaikah rakyat Singapura yang telah pergi ke Bangunan ICA untuk meminta agar proses pasport mereka dipercepatkan?

Jawapan Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam

ICA menerima lebih 500,000 permohonan pasport sejak April 2022 - iaitu secara purata sekitar 6,000 permohonan sehari berbanding 2,000 permohonan sehari pada 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Sejak awal April tahun ini, ICA memberikan kemas kini kepada masyarakat awam tentang masa memproses pasport, apabila ia meningkat kepada sekurang-kurangnya sebulan dan kemudian kepada sekurang-kurangnya enam minggu kerana permintaan terus melonjak.

Rakyat Singapura yang layak boleh mengambil pasport mereka di mana-mana daripada 27 pejabat pos yang ditetapkan manakala dua lagi pejabat pos akan menawarkan khidmat pengambilan pasport mulai bulan ini.

Bagi menangani permohonan pasport yang melonjak, ICA juga mengerahkan pegawai dari unit-unit lain untuk membantu memproses pasport 24 jam sehari.

Pegawai ini bekerja melebihi waktu. Mereka yang tidak bekerja dipanggil semula untuk bekerja manakala permohonan bagi cuti tahunan tidak dibenarkan.

2. Pendaftaran prasekolah

Soalan Encik Leon Perera, AP bagi GRC Aljunied

- Berapakah jumlah pendaftaran tahunan kanak-kanak berusia tiga tahun daripada setiap saiz kohort prasekolah dalam tempoh lima tahun lalu?

- Apakah latar belakang sosioekonomi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun di prasekolah?

- Adakah Pemerintah akan menyemak semula pendiriannya untuk menjadikan pendidikan prasekolah wajib bagi kanak-kanak?

Jawapan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli

Lebih ramai kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun didaftarkan ke dalam prasekolah sepanjang lima tahun lalu.

Tahun lalu, sekitar 90 peratus kanak-kanak Singapura berusia antara tiga dengan empat tahun didaftarkan ke dalam prasekolah, meningkat dari sekitar 80 peratus pada 2017.

Bagaimanapun, kadar penyertaan bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari keluarga berpendapatan rendah adalah lebih rendah berbanding purata nasional.

Dalam kalangan kanak-kanak yang menetap di flat sewa awam, kadar penyertaan prasekolah adalah sekitar 80 peratus berbanding 90 peratus di peringkat nasional.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) bekerja rapat dengan masyarakat untuk membantu keluarga berpendapatan rendah melalui KidStart dan Program Pendekatan Prasekolah.

KidStart adalah sebuah agensi khas yang menyediakan bantuan masyarakat kepada ibu hamil yang layak serta kanak-kanak berusia sehingga enam tahun dari keluarga berpendapatan rendah.

Bagi Program Pendekatan Prasekolah, keluarga berpendapatan rendah digalak untuk mendaftarkan anak mereka ke dalam prasekolah. Pekerja program itu membantu keluarga sedemikian untuk mencari sebuah prasekolah yang dimampui dan membantu mereka dalam proses pendaftaran prasekolah.

Sumber-sumber ini membantu untuk membimbng keluarga dalam proses pendaftaran, menyediakan dokumen sokongan bagi permohonan subsidi dan menangani keperluan lain yang mungkin dihadapi keluarga tersebut berkenaan pendaftaran prasekolah.

Pendekatan Pemerintah adalah untuk memastikan perkhidmatan prasekolah yang boleh diakses, dimampui serta bermutu bagi semua kanak-kanak, berbanding mempunyai sebuah dasar meluas berhubung pendidikan wajib di peringkat prasekolah.

3. Kejadian kebakaran di rumah meningkat baru-baru ini

Soalan AP GRC West Coast, Cik Foo Mee Har


- Berapakah jumlah kes kebakaran di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sepanjang tiga tahun lalu?

- Apakah tiga sebab utama bagi insiden kebakaran itu?

- Adakah rumah yang berselerak dan dipenuhi dengan bahan mudah terbakar satu faktor risiko utama dalam insiden kebakaran tersebut?

Jawapan Menteri K Shanmugam

Jumlah kes kebakaran di estet HDB terus merosot sepanjang lima tahun lalu, dari 1,260 kes pada 2017 kepada 898 kes tahun lalu.

Sepanjang lima tahun lalu, punca utama kebakaran di estet HDB adalah kecuaian semasa memasak, membuang sembarangan bahan yang dinyala dengan api seperti puntung rokok dan kebakaran elektrik yang boleh disebabkan wayar atau peralatan elektrik yang rosak.

Rumah yang berselerak dan dipenuhi barang bukan risiko kebakaran utama.

Bahan-bahan mudah terbakar dikawal selia dengan lebih ketat oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Bahan mudah terbakar yang paling kerap ditemui di dalam unit kediaman ialah gas petroleum cair (LPG) dalam silinder yang biasanya digunakan untuk memasak.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod lalu, LPG bukan punca kebakaran di tempat tinggal.

Penyimpanan bahan mudah terbakar yang dikawal selia melebihi jumlah yang dibenarkan tanpa sebarang lesen yang sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Keselamatan Kebakaran dan SCDF akan mengeluarkan Notis Kesalahan bagi kes seumpama itu.

Secara purata, 11 notis sedemikian dikeluarkan setiap tahun kepada penghuni atau pemilik premis kediaman, yang digunakan sebagai tempat tinggal untuk pekerja, sepanjang lima tahun lalu.

4. Kesalahan buang sampah sembarangan dalam lima bulan pertama 2022

Soalan AP Radin Mas Melvin Yong


- Berapakah jumlah kesalahan membuang sampah secara sembarangan dalam separuh pertama 2022?

- Adakah terdapat peningkatan pada jumlah kesalahan sedemikian berbanding separuh pertama 2021?

Jawapan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu

Dari 1 Januari hingga 31 Mei tahun lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas sekitar 7,400 kes membuang sampah sembarangan.

Dalam tempoh yang sama tahun ini, terdapat sekitar 7,800 kes sedemikian.
Sumber : Today/FZ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan