Skip to main content

Singapura

4 penyewa utama Punggol East, Tebing Lane ditawar lanjutan sewa sehingga setahun

Empat penyewa utama yang beroperasi di Punggol East dan Tebing Lane yang berdekatan akan ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun, yang berpotensi membolehkan perniagaan di kawasan tersebut terus beroperasi hingga akhir 2027.

Anggaran Waktu Membaca:
4 penyewa utama Punggol East, Tebing Lane ditawar lanjutan sewa sehingga setahun

Taman kontena Punggol East pada 1 September 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 01:00PM
4 main tenants in Punggol East and Tebing Lane offered lease extensions of up to a year
  • Four main tenants in Punggol East and Tebing Lane will be offered lease extensions of up to a year, potentially allowing operations to continue until the end of 2027.
  • The move followed concerns from more than 50 tenants at the Punggol East container park who had earlier been asked to cease operations by Oct 31.
  • Yeo Wan Ling said SLA, JTC, NPARKS and HDB will help affected businesses find alternative premises, including options in Punggol if available.
  • The extension is intended to provide time for business transitions, while the Punggol East and Tebing Lane areas are prepared for future redevelopment.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Empat penyewa utama yang beroperasi di Punggol East dan Tebing Lane yang berdekatan akan ditawarkan lanjutan tempoh sewa sehingga setahun, yang berpotensi membolehkan perniagaan di kawasan tersebut terus beroperasi hingga akhir 2027.

Lanjutan itu diberikan selepas Mediacorp melaporkan pada September bahawa lebih 50 penyewa di taman kontena Punggol East dimaklumkan supaya menghentikan operasi menjelang 31 Oktober, sebelum tempoh sewa tapak tersebut tamat pada hujung tahun ini.

Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Punggol Yeo Wan Ling berkata dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (3 Okt) bahawa beliau sudah bertemu dengan agensi-agensi berkaitan untuk membincangkan kebimbangan yang dibangkitkan perniagaan-perniagaan di Punggol East dan Tebing Lane berhubung tempoh sewa mereka yang bakal tamat.

"Menyusuli semakan dan pelarasan pada garis masa pembangunan, agensi-agensi berkenaan akan dapat menawarkan lanjutan sehingga setahun kepada empat penyewa utama, hingga akhir 2027," kata beliau.

Lanjutan tersebut tertakluk kepada syarat penyewaan dan peraturan berkaitan, serta bertujuan memberi perniagaan lebih banyak masa untuk mengatur rancangan peralihan dan kesinambungan perniagaan mereka, termasuk perbincangan dengan penyewa kecil masing-masing, kata Cik Yeo.

Agensi-agensi termasuk Penguasa Tanah Singapura (SLA), JTC Corporation, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga akan terus membantu perniagaan yang terjejas mencari premis alternatif, kata Cik Yeo.

Ini termasuk menghubungkan mereka dengan tuan tanah pemerintah dan agensi berkaitan, dengan pilihan di Punggol turut dipertimbangkan jika tersedia.

"Saya gembira agensi-agensi berkenaan dapat memberikan kelonggaran tambahan ini," kata Cik Yeo.

Beliau menambah bahawa lanjutan tersebut diharap dapat memberi perniagaan lebih banyak masa untuk membuat persiapan bagi peralihan yang diperlukan, sambil membolehkan masyarakat terus menggunakan ruang berkenaan sebelum kawasan itu dibangunkan semula.

PENYEWA SEBELUM INI DIMINTA KELUAR JELANG AKHIR OKTOBER

Lebih sebulan lalu, lebih 50 penyewa di Punggol East Road membuat persiapan untuk berpindah selepas City Sprouts, perusahaan sosial yang mengendalikan taman kontena itu, memaklumkan bahawa mereka perlu menghentikan operasi menjelang 31 Oktober dan menyerahkan semula premis kepada syarikat berkenaan.

Tempoh sewa City Sprouts bagi hartanah pemerintah itu dijadual tamat pada 31 Disember, dengan tanah tersebut perlu dikembalikan kepada SLA.

Menurut SLA, tempoh sewa itu tidak dapat dilanjutkan kerana tapak tersebut diperlukan bagi pembangunan perumahan pada masa hadapan. City Sprouts juga menyatakan ketika itu bahawa ia sedang berbincang dengan SLA berhubung kemungkinan lanjutan tempoh sewa dan tapak alternatif.

Beberapa perniagaan memberitahu Mediacorp ketika itu bahawa tempoh notis yang agak singkat menyebabkan mereka terpaksa bergegas mencari premis baharu dan membuat aturan bagi para pekerja mereka.

Antaranya termasuk perniagaan makanan Filipina halal Tara na! by Easy Eatz SG, yang baru berpindah ke taman kontena tersebut pada Mei.

Pemilik bersamanya, Nurnisa Jonson, berkata beliau bimbang tentang usaha mencari lokasi lain bagi perniagaan tersebut dan 12 pekerjanya. Perniagaan lain yang terjejas termasuk Smok Hous, restoran Kim Kao Mai Thai dan pengendali bola pikel (pickleball) Play! Pickle.

City Sprouts sudah mendapatkan ruang baharu di Taman Pasir Ris dan menawarkan keutamaan kepada pekebun masyarakat serta rakan kongsinya di Punggol untuk berpindah ke sana atau ke rumah hijau masyarakat lain yang dikendalikannya.

Bagi kedai makanan dan minuman (F&B), perusahaan tersebut menyatakan, ia sudah memaklumkan para pengendali utama mengenai pilihan bagi perniagaan mengambil ruang niaga di lokasi lain yang dikendalikannya di bahagian timur Singapura.

Kawasan Tebing Lane yang lebih luas juga dijadualkan untuk dibangunkan semula. The Business Times sebelum ini melaporkan bahawa hartanah pemerintah di 32 Punggol East, 6 Tebing Lane dan 10 Tebing Lane masing-masing disewakan kepada Sing See Soon Floral & Landscape, Sports Hub @ Punggol dan AT Punggol, dengan tempoh sewa mereka dijadual tamat pada 31 Disember 2026.

Cik Yeo berkata lanjutan terbaharu itu bertujuan memberi perniagaan lebih banyak masa untuk membuat persiapan bagi peralihan yang akhirnya perlu dilakukan sedang kawasan tersebut beralih ke "fasa seterusnya".
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita