Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 pengacara baru dalam musim terbaru Manja

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak kecil lagi, Natasha Faisal memang dikenali sebagai seorang yang petah bercakap.

Namun tidak disangka-sangka ia menjadi sumber rezeki deejay radio 987 itu dalam bidang penyiaran tempatan.

"Ibu saya selalu kata, 'kau ini banyak berbual lah Natasha'. Tengok sekarang berkerjaya!" kata Natasha, sambil tertawa.

Pada usia 27 tahun, Natasha sudah mencuba pelbagai aspek bidang penyiaran, termasuk kewartawanan apabila beliau menjalani latihan sambil belajar di CNA.

Namun, minatnya masih dalam bidang hiburan.

"Dari kecil bila waktu membesar saya banyak menonton saluran 'MTV'. Jadi saya mahu menjadi seorang 'VJ'. Dengan itu saya cuba. Saya juga dulu minat baca berita," tambahnya.

Meskipun kedua-dua impiannya itu belum tercapai, satu lagi peluang baru dibuka untuknya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selepas lebih lapan tahun dalam industri penyiaran bahasa Inggeris, Natasha diberi tanggungjawab sebagai salah seorang pengacara musim terbaru rancangan 'Manja'.

Inilah kali pertama beliau mempamerkan bakat pengacaraan dalam Bahasa Melayu.

"Saya mengambil Manja ini sebagai satu peluang untuk saya perkasakan diri dan memperbaiki kemahiran dan mengacara saya," kata Natasha.

LEBIH BIASAKAN TUTUR BAHASA MELAYU DI RUMAH

Natasha mengacarakan segmen 'Lunchbox with Natasha' di stesen 987 dari 10 pagi hingga 2 petang.

Selain perlu mengimbangi jadual bertugas, beliau juga perlu berdepan dengan cabaran bertukar-bertukar bahasa.

"Walaupun inti kerjanya agak sama, tapi untuk berbahasa Melayu secara rasmi, ada juga penyesuaian harus dibuat. Saya bertugas di 987 di siang hari, dan malamnya untuk ke studio Manja kan, macam kena cari 'butang' untuk tukar 'swis'," selorohnya.

''(Gambar: Facebook/Mediacorp 987)

Menurut Natasha, selain menonton berita dan musim-musim 'Manja' yang lalu untuk mengasah lagi kefasihan berbahasa Melayu, beliau memastikan penggunaan bahasa Melayu lebih diterapkan di rumah.

"Di rumah saya lebih biasakan berbual dalam Bahasa Melayu. Sebab dalam kerja seharian memang saya banyak guna Bahasa Inggeris sebab itu kerjaya saya. Bila saya pulang ke rumah, saya akan mengajar anak saya untuk belajar Bahasa Melayu," kata Natasha, yang mempunyai seorang cahaya mata perempuan berusia 2 tahun.

Selain Natasha, musim kali ini turut menampilkan tiga hos lain - Fatin Amira, Zhin Sadali dan Iskandar Shah Zulkifili.

Sebagai seorang ibu muda, beliau menyifatkan pengalamannya dalam industri hiburan sebagai salah satu kelebihan.

"Pemikiran saya ini memang moden tapi tetap jiwa saya tradisional. Dan selain itu, saya memang seorang yang mendekati diri dengan hiburan di Singapura ini. Saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk saya lebih mendekati diri dengan masyarakat Melayu," kata Natasha.

Bagi mencabar lagi dirinya, Natasha berharap diberi peluang mengacara lebih banyak program Melayu secara langsung di masa hadapan.

"Saya ingin mencuba rancangan yang bersiaran langsung dengan penonton ada dalam studio. Jadi dapat juga tarik tenaga dari mereka. Dan juga apa-apa yang berkaitan dengan muzik," jelasnya.

ISKANDAR SHAH SERLAH PERSONALITI

Keazaman untuk mencabar kebolehan diri turut dikongsi seorang lagi pengacara Manja, Iskandar Shah Zulkifli.

Sejak menyertai pertandingan Anugerah Skrin 2016, beliau lebih bergiat dalam bidang lakonan.

Dengan kepercayaan yang diberi itu, beliau berharap dapat memperluaskan bakatnya dalam bidang pengacaraan.

"Mungkin untuk masa yang akan datang, saya dapat peluang untuk menjadi seorang hos buat program-program seperti Sinar Lebaran, ataupun 'info-ed' yang lebih lagi mencabar saya dalam segi teknikal juga," kata Iskandar Shah, yang juga berlakon dalam siri drama Inggeris, Saluran 5, 'Sunny Side-Up'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Kali terakhir Iskandar mengacara sesebuah program adalah sekitar 2018, menerusi rancangan 'Swap Kerja'.

Dalam percubaan kali kedua ini sebagai pengacara, Iskandar berharap penonton dapat mengenalinya dengan lebih dekat.

"Kalau anda jumpa saya di luar, saya akan lebih tunjukkan di kaca TV. Jadi anda dekat rumah itu takkan terfikir-fikir Iskandar dekat luar itu macam mana. Apa yang anda nampak saya dekat Manja, itulah anda akan nampak saya dekat luar juga. Jadi saya akan tunjuk satu personaliti yang sangat 'raw'," kata Iskandar.

Pada usia 30 tahun, Iskandar Shah sudahpun menikmati pelbagai aspek dalam bidang seni hiburan tanahair.

Bagi mencabar lagi dirinya, beliau berhasrat untuk menceburi bidang-bidang lain.

"Mungkin saya akan menceburi dalam bidang hartanah lagi lebih ke ataupun aspek-aspek yang lain. Saya tak nak kena-mengena sangat dengan apa yang saya telah buat selama tujuh tahun ini. Saya nak rasa benda yang lain, yang dalam dunia yang saya tak tahu apa-apa lagi," tambahnya.

4 HOS BARU SERASI BERSAMA

Kemunculan kedua-dua Natasha dan Iskandar bersama dua hos lain merupakan antara pembaharuan yang ditampilkan pada musim Manja kali ini.

"Setelah tujuh musim berlalu, Manja kali ini melalui pembaharuan. Segmen baru, set baru, tenaga dia pun haruslah baru kan. Jadi keempat hos baru Manja ini, dapat tawarkan tenaga yang segar. Mereka juga mempunyai personaliti mereka yang tersendiri dan mampu memberikan pendapat isu-isu yang dapat dirungkaikan," kata Penerbit Eksekutif, Fadila Abdul Wahid.



Keempat-empat hos itu pertama kali digandingkan apabila musim terbarunya mula ke udara pada 8 Mei (Isnin).

"Setelah episod pertama diarahkan, dapat dilihat keserasian yang seimbang di antara mereka berempat. Jadi kami telah membuat pilihan yang baiklah untuk Manja musim kelapan ini," tambahnya.

Di samping mengekalkan segmen-segmen popular, lebih banyak isu semasa yang dekat dengan hati masyarakat dan pengalaman-pengalaman baru ditampilkan dalam musim kali ini.

"Kita harus menggunakan dengan perkataan “Boleh” untuk menunjukkan kesemua aktiviti dan juga cabaran dan misi yang diberi, boleh dilakukan oleh sesiapa. Manja juga mempunyai segmen yang baru iaitu, Boleh Teroka di mana ia memberikan semangat kepada penonton untuk menjelajah dan raih pengalaman baru," tambah Cik Fadila.

Musim terbaru Manja boleh disaksikan setiap Isnin, 8.30 malam di Suria dan meWATCH.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan