Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 pemandu diberkas tawar khidmat perjalanan rentas sempadan secara haram antara SG dengan Malaysia

Empat pemandu diberkas kerana menyediakan khidmat perjalanan rentas sempadan secara haram antara Singapura dengan Malaysia tanpa lesen yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Empat pemandu diberkas kerana menyediakan khidmat perjalanan rentas sempadan secara haram antara Singapura dengan Malaysia tanpa lesen yang sah.

Mereka diberkas dalam satu operasi penguatkuasaan pada minggu lalu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam catatan Facebook hari ini (21 Feb).

"Demi keselamatan anda, elakkan daripada melanggani khidmat sedemikian," menurut LTA dalam catatan itu, yang diiringi beberapa gambar yang menunjukkan kenderaan ditunda.

"Selain melanggar undang-undang, kenderaan yang digunakan mungkin tidak mempunyai perlindungan insurans sewajarnya daripada liabiliti pihak ketiga yang mungkin menimbulkan masalah serius kepada para penumpang jika berlaku kemalangan," menurut LTA.

Para pemandu yang didapati menawarkan khidmat 'sewa dan bayar' secara haram termasuk khidmat rentas sempadan tanpa Lesen Kenderaan Khidmat Awam (PSVL) yang sah, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$3,000 atau kedua-duanya.

Kenderaan yang digunakan juga boleh dirampas, menurut LTA.

Siasatan ke atas kes-kes tersebut masih dijalankan.

Tempahan bagi khidmat rentas sempadan dari satu tempat ke satu tempat, termasuk yang dibuat melalui wadah media sosial dan kiriman mesej seperti Facebook dan Telegram adalah haram, jelas LTA dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp hari ini.

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA), semua kenderaan termasuk kenderaan berdaftar luar negara harus mempunyai lesen PSVL yang sah untuk menawarkan khidmat teksi atau khidmat perjalanan kereta sewa privet.

Buat masa ini, satu-satunya penyedia khidmat berlesen khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat rentas sempadan adalah teksi Singapura dan Malaysia yang diberikan Permit Kenderaan Khidmat Awam ASEAN (PSVP).

Teksi-teksi Malaysia juga perlu mendapatkan PSVL Rentas Sempadan.

Teksi-teksi berkenaan boleh dilanggani di Terminal Ban San Street (Singapura) dan Terminal Johor Larkin (Malaysia) yang merupakan tempat mengambil dan menurunkan pelanggan yang dikhaskan bagi khidmat teksi rentas sempadan, menurut LTA.

Selain itu, para penumpang boleh menempah perjalanan rentas sempadan menerusi pengendali teksi berlesen di Singapura.

LTA juga menyatakan ia sedang bekerjasama dengan wadah-wadah seperti Klook, KKday dan Google untuk memadamkan iklan khidmat rentas sempadan secara haram dan ada yang telah dipadamkan.

Dalam catatan Facebook hari ini, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat memuji "usaha berwaspada" oleh pegawai penguatkuasaan LTA dalam memintas empat pemandu yang cuba menyediakan khidmat rentas sempadan secara haram.

Beliau menambah bahawa beliau telah meminta LTA supaya mengambil pendirian tegas terhadap amalan sedemikian yang melanggar undang-undang dan menjalankan operasi menyamar bagi memberkas para pemandu yang berdegil melakukan kesalahan itu.

"Kepada para pemandu yang terfikir untuk menawarkan khidmat sedemikian yang melanggar undang-undang, saya akan katakan ini: Fikir masak-masak sebelum anda melanggar undang-undang kerana anda tidak tahu jika pelanggan anda yang seterusnya adalah seorang pegawai LTA yang menyamar," kata Encik Chee.

Sejak 2022, 12 pemandu diberkas kerana menawarkan khidmat pengangkutan rentas sempadan secara haram menggunakan kenderaan berdaftar di luar negara, kata LTA.

Hukuman bagi mereka yang didakwa dan didapati bersalah sejauh ini termasuk denda sehingga S$1,800 dan kenderaan mereka dirampas.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan