Skip to main content

Singapura

4 parti pembangkang tubuh perikatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya SG seterusnya

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jun 2023 07:41PM Dikemas Kini : 01 Jun 2023 11:19PM
SINGAPURA: Empat parti pembangkang di Singapura menubuhkan perikatan yang dipanggil Perikatan Rakyat untuk bertanding, bagi Pilihan Raya seterusnya.

Demikian didedahkan peguam dan ahli politik Lim Tean pada Khamis (1 Jun).

Empat parti tersebut merangkumi parti Suara Rakyat, Parti Reform, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Progresif Demokratik.

Pilihan Raya Singapura seterusnya akan diadakan menjelang 2025.

Encik Lim, yang merupakan pemimpin parti Suara Rakyat, menambah bahawa empat parti tersebut sudah berunding untuk menubuhkan satu perikatan sejak Januari lalu.

"Percubaan sebelum ini untuk menjalinkan perikatan antara parti pembangkang tersebut, yang terbaru pada 2018, apabila tujuh parti berhimpun untuk mengadakan rundingan, malangnya tidak mencapai sebarang kata putus," kata Encik Lim dalam satu catatan di Facebook.

"Kami telah mengambil kira gesaan warga Singapura dan memutuskan bahawa masa untuk berunding mengenai perpaduan pembangkang tanpa menubuhkan perikatan, sudah lama berlalu."

Dalam catatan Facebook itu, Encik Lim menyenaraikan anggota jawatankuasa eksekutif pusat pertama perikatan tersebut:

- Kenneth Jeyaretnam: Pengerusi

- Peter Soh: Naib Pengerusi

- Lim Tean: Setiausaha Agung

- Yasmine Valentina: Penolong Setiausaha Agung

- Mohamad Hamim Aliyas: Bendahari

- Michael Fang: Penolong Bendahari

- Goh Meng Seng: Setiausaha Penganjur

- Juliana Juwahir: Penolong Setiausaha Penganjur

- Abdul Malik Rahmat: Anggota

- Lim Lian Chin: Anggota

- Chiu Shin Kong: Anggota

- Mahaboob Batcha Abdul Rasheed: Anggota

"Perikatan tersebut akan bertanding bagi kesemua kerusi, yang mana ia turut bertanding bagi Pilihan Raya 2020 dan lebih banyak lagi, bagi Pilihan Raya akan datang," ungkap Encik Lim.

Beliau menambah bahawa empat parti tersebut "sebulat suara dalam isu-isu paling penting yang menjejas kemakmuran rakyat serta negara dalam berpuluh-puluh tahun akan datang".

Menurutnya, mereka telah menyiapkan manifesto bagi Pilihan Raya tersebut.

Beliau juga berkata bahawa empat parti tersebut sudah mengambil langkah untuk mendaftar perikatan tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Sidang media dan majlis pelancaran rasmi bagi Perikatan Rakyat bakal diadakan setelah pendaftaran berkenaan diluluskan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita