Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 novel Melayu dilancarkan Pustaka Nasional sempena Pesta Penulis Singapura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Empat novel Melayu dilancarkan oleh Pustaka Nasional pada Ahad (26 Nov).

Novel-novel terbaharu itu ditujukan kepada para pembaca muda berusia sembilan hingga 12 tahun.

Ia sebahagian daripada 10 novel dalam Bahasa Ibunda yang dilancarkan sempena Pesta Penulis Singapura (SWF).

Penerbitan buku-buku itu dapat direalisasikan di bawah inisiatif Beyond Words oleh Majlis Buku Singapura dan disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

TERBITKAN NOVEL FANTASI DALAM BAHASA MELAYU UNTUK ISI JURANG

Dari Kiri: Maria Mahat, Nur-El-Hudaa Jaffar, Amanah Mustafi & Hassan Ali. (Gambar: Amanah Mustafi)


Antara 10 novel itu termasuk novel fantasi yang berjudul Pengembaraan Zac Rushd: Cincin Bimasakti oleh penulis Hassan Ali.

Beliau terdorong untuk menghasilkan karyanya itu kerana ingin mengisi jurang bahan pembacaan bagi kanak-kanak terutama sekali dalam genre-genre yang kurang diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

Novel itu menceritakan pengembaraan watak Zac Rushd, 14 tahun, yang melindungi Singapura daripada serangan makhluk dari alam lain.

"Tema yang saya pilih berdasarkan pengalaman, dan bahan bacaan saya semasa saya masih remaja dan sedang membesar. Saya banyak membaca buku-buku Fiksyen Sains dan fantasi seperti 'Lord of the Rings' oleh Tolkien jadi saya rasa itu yang menjadi bahan utama saya menghasilkan cerita fantasi," kongsi Encik Hassan.

Antara cabaran yang dihadapi penulis untuk menghasilkan karya bagi pembaca muda ialah untuk memastikan jalan ceritanya menarik dan tidak membosankan.

"Nilai-nilai moral dalam sastera Melayu tidak dapat dipisahkan. Banyak nilai moral dalam sastera-sastera Melayu kita, tidak kira sastera untuk orang dewasa atau sastera untuk remaja dan kanak-kanak. Bagi saya, untuk terapkan nilai-nilai moral untuk pembaca-pembaca muda, ia harus tersirat dan tidak terlalu tersurat dan tidak terlalu dikatakan didaktik untuk para pembaca muda kita," ujar Encik Hassan.

UNSUR HIBURAN PENTING UNTUK BUKU KANAK-KANAK

Bagi penulis Amanah Mustafi pula, beliau berpendapat bahawa buku-buku untuk kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun sangat berkurangan berbanding buku-buku untuk kanak di bawah usia itu.

Bukunya berjudul 'Yaya dan Kacang Hantu' turut dilancarkan dalam majlis yang sama.

"Bahasa itu penting dan kerana cinta pada Bahasa itu yang membuatkan saya ingin menulis. Biar kata orang, menjadi legasi untuk masyarakat akan datang. Lagipun sangat perlu untuk kita menulis buku yang ditulis oleh penulis tempatan dan diterbitkan di sini sebab isu-isu kita dan tema kita berbeza dengan masyarakat di negara jiran biarpun kita sama bangsa dan sama bahasa," menurut Cik Amanah.

Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar


Istimewannya, buku sejarah fiksyen itu berlatarbelakangkan 1970an menerusi watak Yaya yang menghadapi pelbagai masalah di sekolah.

Bagi Cik Amanah, elemen hiburan juga penting dalam buku untuk anak-anak.

"Saya sengaja adakan insiden di mana (watak) Lan ini seluarnya berlubang. Bayangkan orang nampak punggungnya dan budak perempuan nampak semua akan ketawakannya dan satu lagi insiden di mana dia harus bersembunyi dalam tandas tetapi kawan baiknya ingin pergi buang air besar pula," kongsi Cik Amanah.

"Jadi bagi saya, ini penting sebab anak-anak tidak akan dapat pesanan yang kita tonjolkan tanpa ada unsur hiburan itu seperti unsur marah, geram. Kalau nak ikutkan, elemen-elemen ini harus ke depan daripada pesanan yang kita ada. Ia harus bersalut dengan cerita dalam bentuk yang sangat santai begitu," tambahnya.

PENULIS DAPAT BELAJAR DARIPADA MENTOR DARI LUAR DAN DALAM NEGARA

Gambar: Singapore Book Council

Di bawah projek in juga, para penulis berpeluang untuk menyertai bengkel-bengkel penulisan dan program bersama mentor-mentor dari dalam dan luar negara dari September 2021 hingga Disember 2022.

Dua mentor bagi penulis Melayu adalah penulis yang cukup berpengalaman dalam pengkaryaan untuk pembaca sasaran itu, penulis Khairiah Amin dari Singapura dan Nazry Salam dari Malaysia.

"Kebelakangan ini, kita lihat penerbitan untuk buku-buku untuk pembaca kanak-kanak daripada sekitar prasekolah rancak juga jadi saya rasa kita perlu memanfaatkan momentum bila kita lihat ada generasi muda yang minat membaca," kongsi penulis Nur-El-Hudaa Jaffar yang menyertai program-program itu.

"Makanya, apabila Majlis Buku Singapura membuka ruang untuk para penulis menyertai program Beyond Words, saya rasa eloklah saya ikut serta. Saya juga ingin mencuba ruang penulisan yang baharu sebab selama ini, saya lebih giat menulis untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 8 tahun dan juga pembaca dewasa. Jadi ini satu cabaran yang saya sambut," tambahnya.

Bukunya berjudul 'Cakap, Mila! Cakap!' juga merupakan antara empat novel Melayu yang dilancarkan.

"Mesej utama yang saya ingin utarakan dalam buku dan kisah (watak) Mila ini, ialah dalam sebuah keluarga, perlu ada saluran komunikasi atau ruang komunikasi yang terbuka antara kanak-kanak dan ibu bapa dan juga bagi kanak-kanak itu sendiri, bahawa dia mampu untuk bersuara untuk menyuarakan pendapatnya, hajatnya, keinginannya dan saya harap melalui peristiwa-peristiwa yang Mila lalui, tanpa berbunyi seakan-akan saya memberi ceramah, saya berharap para pembaca akan membuat penilaian mereka sendiri dan kaitkan diri mereka dengan cerita Mila," kongsi Cik Nur-El-Hudaa.

"Saya harus mengimbangi babak serius dengan babak ringan dan apa-apa pun yang serius itu, saya cuba tulis atau saya cuba sampaikan melalui perspektif Mila sendiri. Jadi dengan sendirinya, dengan interaksi Mila, dengan kawan-kawannya, ada sedikit keringanan, ada sedikit jenaka, dan sementara interaksi Mila dengan keluarganya ada sedikit yang serius tapi saya perlu imbangi semua," tambahnya.

MASUKKAN UNSUR-UNSUR KEMELAYUAN

Untuk penulis Maria Mahat pula, beliau juga ingin memperkayakan bahan bacaan untuk golongan muda dengan buku fantasinya, 'Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid' dengan unsur-unsur kemelayuan.

"Saya berfikir kenapa tidak saya memperkenalkan haiwan-haiwan yang ada dalam alam Melayu dan juga alam Asia dan sedikit sejarah Islam. Jadi kalau kalau kita tidak memberi peluang untuk kanak-kanak kita diperkenalkan kepada haiwan-haiwan ini dalam alam Melayu, siapa lagi yang akan memperkenalkan kepada mereka. Jadi saya cuba menulis Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid, dengan cara yang saya harap santai dan menyeronokkan untuk golongan ini," kongsi Cik Maria.

"Nilai-nilai yang saya cuba mencungkil dalam cerita ini telah diletakkan di dalam watak Aidan, di mana kita nampak perubahan beliau daripada bermulanya cerita ini sehingga akhir cerita ini. Jadi buku ini juga boleh dibuat untuk (rujukan) dalam permata pembelajaran seperti pendidikan watak dan kewarganegaraan," tambahnya.

PENERBITAN BUKU BAHASA IBUNDA GALAK PEMBELAJARAN BAHASA IBUNDA

Gambar: Singapore Book Council
Hadir untuk majlis pelancaran itu termasuk tetamu kehormat, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri, Cik Sun Xueling.

Dalam ucapannya, Cik Sun berkongsi bahawa lebih banyak buku yang ditulis oleh penulis tempatan diperlukan, lebih-lebih lagi dengan lebih ramai keluarga muda yang sebahagian besarnya menggunakan Bahasa Inggeris di rumah berbanding 10 tahun yang lalu.

"Penerbitan buku-buku Bahasa Ibunda ini membantu menggalak pembelajaran Bahasa Ibunda. Pada masa yang sama, ia dapat mencetak identiti Singapura, sejarah dan budaya dan menjadi dokumen hidup agar generasi Singapura mendatang akan tahu apakah kisah-kisah tempatan dalam konteks Singapura," kongsi Cik Sun.

"Penggalakan untuk belajar Bahasa Ibunda membantu kita memelihara identiti budaya masing-masing, sejarah dan kisah Singapura. Dalam dunia yang berpecah-belah akibat politik identiti, tidak ketentuan dan sosial yang kucar-kacir, buku-buku yang dapat membantu menggalak rasa hormat, nilai-nilai baik dan harmoni kaum dan agama mempunyai peranan penting untuk menggalak masyarakat yang adil dan inklusif," tambahnya.

Selain buku-buku Melayu, lagi enam novel dalam bahasa Tamil dan Mandarin juga dilancarkan sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2023.

Novel-novel itu juga diterbitkan dalam format buku elektronik dan buku Audio.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan