4 lelaki disiasat langgar peraturan COVID-19, guna bahasa kesat terhadap pegawai penguat kuasa
Empat orang disiasat dalam insiden berasingan kerana didakwa berkelakuan kasar terhadap para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat selain tidak mematuhi langkah-langkah selamat COVID-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan hari ini (5 Jul).

(Gambar hiasan: Jeremy Long)
SINGAPURA: Empat orang disiasat dalam insiden berasingan kerana didakwa berkelakuan kasar terhadap para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat selain tidak mematuhi langkah-langkah selamat COVID-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan hari ini (5 Jul).
Dalam satu insiden pada 31 Mei, seorang lelaki 47 tahun didakwa menyerang seorang duta jarak selamat di pusat beli-belah Bedok Mall.
Duta itu menasihatkan lelaki berkenaan supaya memakai pelitupnya dengan betul kerana ia tidak menutupi hidung dan mulutnya.
Lelaki itu bagaimanapun tidak menuruti nasihat tersebut sebaliknya, dia menghamburkan kata-kata kesat kepada duta berkenaan dan cuba merampas tali lanyard beliau, menurut polis.
"Duta jarak selamat itu cuba untuk merakamkan bukti tindakan lelaki tersebut dengan menggunakan telefonnya tetapi ditumbuk oleh lelaki berkenaan di perutnya," tambah polis.
Lelaki berkenaan sedang membantu dalam siasatan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja, menggunakan kekerasan jenayah, sengaja mencetuskan rasa cemas dan melanggar langkah-langkah jarak selamat.
Dalam satu kejadian lain pada 21 Julai, seorang lelaki 33 tahun didakwa memarahi dan memaki carut seorang duta jarak selamat selepas dinasihatkan supaya memakai pelitup.
Menurut polis, lelaki itu juga menolak duta tersebut sebanyak dua kali, menyebabkan beliau terjatuh.
Dia diberkas polis kerana menyebabkan gangguan awam dan akan juga disiasat kerana menggunakan kekerasan jenayah, sengaja mencetuskan rasa cemas dan melanggar langkah-langkah jarak selamat.
Pada hari yang sama, polis menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan daripada seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di 10 Kallang Road.
Pegawai ICA itu telah menasihati lelaki berkenaan agar memakai pelitupnya setelah memerhatikan bahawa dia menariknya ke bawah awal dari itu.
"Meskipun lelaki itu pada awalnya menuruti nasihat pegawai itu, dia kemudian dilihat menarik turun pelitupnya sekali lagi," menurut polis.
Apabila pegawai ICA menasihatkan lelaki itu supaya memakai pelitupnya untuk menutup mulut dan hidung, lelaki itu didakwa tidak mematuhinya dan melemparkan kata-kata kesat kepada pegawai tersebut,
Dia kemudian diberkas oleh polis kerana menggunakan bahasa kesat terhadap seorang penjawat awam. Dia juga akan disiasat kerana melanggar langkah-langkah jarak selamat COVID-19.
Dalam satu lagi insiden pada 26 Jun, seorang lelaki berumur 40 tahun didakwa memaki carut seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat selepas diberitahu supaya memakai pelitupnya dengan betul di pasar dan pusat makanan Albert Centre.
Menurut polis, lelaki itu didakwa sedang bercakap di telefon dengan pelitupnya ditarik turun ke dagu.
Pegawai itu menasihatkannya agar memakai pelitupnya tetapi dia tidak mengendahkan pegawai berkenaan dan meninggalkan tempat tersebut.
Apabila pegawai itu mengikut lelaki berkenaan untuk mengulangi nasihatnya, dia membalas dengan memaki beliau.
Lelaki itu ditangkap kerana menggunakan bahasa kesat terhadap seorang kakitangan awam dan juga akan disiasat kerana melanggar langkah-langkah jarak selamat.
Polis menyatakan siasatan ke atas semua insiden itu sedang dijalankan.
Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan sengaja boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Individu yang didapati menggunakan kekerasan jenayah boleh menghadapi hukuman penjara tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan sengaja menyebabkan rasa cemas, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang disabit kesalahan menyebabkan gangguan awam boleh didenda sehingga S$2,000 manakala mereka yang didapati bersalah menggunakan bahasa kesat terhadap seorang penjawat awam boleh didenda tidak melebihi S$5,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Jika disabit kesalahan gagal memakai pelitup atau tidak memakainya dengan betul ketika berada di luar rumah, individu boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.