4 lelaki didakwa langgar langkah pengurusan selamat COVID-19 pada malam Tahun Baru di Clarke Quay
(Dari kiri) Harjaz Singh, William Alexander Brooks-Potts, Verma Pulkit dan Kotra Venkata Sai Rohankrishna di Mahkamah pada 25 Jan 2022. (Gambar: CNA/Marcus Ramos)
SINGAPURA: Empat lelaki didakwa di mahkamah kerana melanggar pelbagai arahan kawalan COVID-19 dalam satu perhimpunan di kawasan Clarke Quay pada malam Tahun Baru.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan ramai orang berkumpul di kawasan itu pada 31 Dis 2021.
Pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 menyifatkan perhimpunan yang tidak dirancang itu sebagai "satu acara yang berpotensi menyebarkan COVID-19 secara besar-besaran.".
Empat lelaki itu berusia antara 19 dengan 22 tahun. Mereka ialah Kotra Venkata Sai Rohankrishna, Harjaz Singh, William Alexander Brooks-Potts dan Verma Pulkit. Kewarganegaraan mereka tidak disenaraikan dalam kertas tuduhan.
Kotra merupakan satu-satunya daripada empat lelaki itu yang diwakili seorang peguam. Dia dikenakan tiga tuduhan kerana gagal memakai pelitup dengan betul dekat Read Bridge di Clarke Quay pada 1 Januari 2022.
Pada masa dan lokasi yang sama, dia didakwa menghadiri sebuah perhimpunan, berinteraksi dengan kira-kira 20 orang termasuk membuat rakaman temu bual video dan mengambil gambar sambil memakai kostum Spider-Man.
Dia juga dituduh gagal menjaga jarak selamat 1 meter daripada beberapa individu yang lain di sana.
Brooks-Potts, Verma dan Singh, masing-masing dikenakan dua tuduhan. Mereka didakwa gagal menggunakan pelitup dengan betul berhampiran Read Bridge dan pada masa yang sama dan gagal menjaga jarak selamat 1 meter daripada individu yang lain.
Pendakwa raya dari Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) meminta kes ditangguhkan hingga 8 Feb kerana Verma dan Singh masing-masing akan menerima satu tuduhan tambahan kerana melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19.
Jika sabit kesalahan melanggar peraturan COVID-19, mereka boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
URA sebelum ini menyatakan bahawa agensi-agensi akan "mempertingkatkan" penguatkuasaan langkah-langkah pengurusan selamat di merata Singapura menjelang Tahun Baru Cina.
URA menggesa orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab sosial dan mematuhi langkah-langkah sedia ada seperti memakai pelitup dengan betul, menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain dan kekal dalam kumpulan tidak lebih daripada lima orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.