Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 lelaki didakwa ganggu pegawai polis di tempat kejadian jenayah di Little India

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Empat lelaki didakwa pada Rabu (25 Sep) atas satu tuduhan setiap seorang menyebabkan gangguan awam dan menggunakan bahasa kesat terhadap seorang pegawai polis.

Mereka disyaki berbuat demikian di satu tempat kejadian jenayah di Little India, yang dikawal oleh pegawai untuk menyiasat kes dipercayai pembunuhan.

Satu video selama dua minit yang menunjukkan mereka melakukan demikian, dimuat naik ke media sosial Facebook, ROAD.sg pada Ahad. Ia menarik lebih 423,000 tontotan dalam tempoh tiga hari.

Empat lelaki itu adalah:
  • Md Dino Marciano Abdul Wahab, 44 tahun
  • Alex Kumar Gnansekaran, 37 tahun
  • Mohamed Eusof Mohamed Yahiya, 32 tahun
  • Mohanan V Balakrishnan, 32 tahun

Kertas mahkamah menunjukkan empat lelaki tersebut disyaki menjerit ke arah pegawai polis pada Ahad kira-kira pukul 5.10 pagi.

Mereka menggunakan frasa seperti "Kau bercakap seperti samseng, kau tahu, kami semua takut kau tahu" (You talked like a gangster you know, we all scared you know), "kami bayar cukai, kami bayar cukai kami" (we are paying tax, we are paying our f***ing tax) dan "Aku boleh tunjukkan kepada kau 100 peratus samseng" (I can show you 100 per cent gangster).

Insiden berkenaan berlaku di lorong belakang Sam Leong Road di Little India, di mana satu pembunuhan didakwa berlaku.

Kes tersebut melibatkan Muhammad Sajid Saleem, 22 tahun, yang didakwa pada Isnin membunuh seorang individu berusia 25 tahun di Verdun Road.

Lagi lima lelaki didakwa berhubung kejadian itu.

Empat lelaki yang didakwa pada Rabu itu tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan pembunuhan tersebut. Mereka memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa mereka berhasrat untuk mendapatkan perwakilan undang-undang.

Pendakwa raya polis juga memberitahu mahkamah bahawa siasatan sedang dijalankan dan keempat-empat lelaki itu mungkin berdepan pertuduhan tambahan.

Keempat-empat lelaki itu akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 8 Oktober.

DIDAKWA MENGEJEK PEGAWAI POLIS

Dalam satu kenyataan media, pihak polis menyatakan pegawai tersebut sedang menjaga "tempat kejadian jenayah pembunuhan" itu di Sam Leong Road kira-kira pukul 5.10 pagi pada Ahad apabila keempat-empat lelaki terbabit menghampiri.

Mereka didakwa cuba menyeberangi kawasan yang dikepung, tetapi dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif.

"Tiga daripada lelaki itu kemudian didakwa mengejek dan menggunakan bahasa kesat terhadap pegawai tersebut, manakala lelaki keempat terbabit kononnya merakam interaksi dengan telefon bimbitnya," dedah pihak polis.

"Sungguhpun tingkah laku empat lelaki itu sebegitu, pegawai terbabit menahan diri dan berusaha untuk meredakan keadaan, sekalipun mereka cuba menangani siasatan pembunuhan itu yang sedang dijalankan."

Keempat-empat lelaki itu menggunakan laluan alternatif "hanya selepas (dinasihati berulang kali)", menurut polis.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menekankan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka, dan terhadap mereka yang berkelakuan kesat terhadap pegawai mereka.

Sesiapa yang didapati bersalah menggunakan bahasa kesat terhadap penjawat awam boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan gangguan awam berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan