Skip to main content

Singapura

4 lagi institusi jagaan kesihatan privet mohon import vaksin COVID-19 Sinovac

Empat institusi jagaan kesihatan privet telah menyerahkan permohonan untuk mengimport vaksin COVID-19 di bawah Laluan Akses Khas (SAR) setakat Rabu (30 Jun), menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Anggaran Waktu Membaca:
4 lagi institusi jagaan kesihatan privet mohon import vaksin COVID-19 Sinovac

Dos vaksin Sinovac. (Gambar: Willy Kurniawan/REUTERS)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 07:56PM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 07:58PM

SINGAPURA: Empat institusi jagaan kesihatan privet telah menyerahkan permohonan untuk mengimport vaksin COVID-19 di bawah Laluan Akses Khas (SAR) setakat Rabu (30 Jun), menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Institusi-institusi itu bukan antara 24 institusi jagaan kesihatan privet yang sebelum ini telah dipilih untuk menguruskan bekalan 200,000 dos vaksin COVID-19 Sinovac dari Pemerintah.

HSA menyatakan ia tidak dapat memberikan maklumat mengenai pihak mana yang telah membuat permohonan, dan vaksin mana yang ingin dibawa masuk atas sebab kerahsiaan.

Melalui SAR, sektor jagaan kesihatan privet dapat membawa masuk vaksin COVID-19 yang tidak berdaftar, selagi ia telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Skim itu menawarkan akses kepada vaksin alternatif bagi mereka yang tidak boleh atau memilih untuk tidak mengambil dua vaksin COVID-19 yang sekarang ini diluluskan di Singapura, iaitu vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna. Kedua-dua vaksin tersebut berdasarkan teknologi mRNA.

Minggu lalu, institusi-institusi kesihatan privet yang dihubungi Mediacorp menyatakan mereka sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk lebih banyak vaksin, termasuk suntikan Sinovac dan Sinopharm dari China, ekoran permintaan yang meningkat bagi vaksin bukan mRNA.

Sebuah klinik menyatakan lebih 4,000 orang sudah dijadualkan bagi janji temu vaksinasi, dan tempahan dibuat hingga hujung September.

Sehingga 28 Jun, terdapat dua laporan kesan sampingan melibatkan gatal-gatal, setelah divaksinasi menggunakan suntikan Sinovac, menurut HSA.

Namun, ia menambah bahawa kesannya "tidak serius".

HSA menyatakan bilangan orang yang diberi vaksin Sinovac masih rendah, kerana vaksinasi baru bermula pada 18 Jun.

Menurutnya ia akan terus memantau sebarang isyarat yang menjejas keselamatan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita