4 kru kapal korek mengaku bersalah berhubung insiden tumpahan minyak SG pada 2024
Empat kru kapal warga Belanda dari sebuah kapal korek yang melanggar sebuah kapal bunker pada Jun 2024 dan menyebabkan tumpahan minyak, mengaku bersalah pada Rabu (12 Mac) kerana gagal menjalankan tugas mereka dengan sempurna.

Kapal Vox Maxima hilang kawalan mengemudi sebelum ia melanggar kapal Marine Honour pada 14 Jun 2024. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Merijin Heidema, 26 tahun, Eric Peijipers, 56 tahun, Martin Hans Sinke, 48 tahun dan Richard Ouwehand, 49 tahun, mengaku bersalah ke atas satu tuduhan setiap seorang di bawah Akta Perkapalan Dagangan.
Kes-kes mereka didengar dalam satu perbicaraan bersama di Mahkamah Negara dan kesemuanya diwakili oleh peguam masing-masing.
APA YANG BERLAKU
Pada 14 Jun 2024, kapal korek yang menggunakan bendera Belanda, Vox Maxima, melanggar Marine Honour, iaitu sebuah kapal bunker yang berdaftar di Singapura, di Terminal Pasir Panjang.
Menurut dokumen mahkamah, kapal Vox Maxima hilang kawalan mengemudi sebelum ia melanggar kapal Marine Honour - iaitu merujuk kepada insiden apabila sebuah kapal yang bergerak melanggar objek yang tidak bergerak.
Insiden itu menyebabkan sekitar 400 tan minyak dari kapal Marine Honour tertumpah ke laut, dengan sebahagian tumpahan minyak itu mencemari pinggir pantai selatan Singapura termasuk pantai-pantai di Kawasan Alam Semula Jadi Simpanan Labrador Hutan Simpanan Labrador, Sentosa dan Taman East Coast.
Operasi membersihkan pantai mengambil masa lebih dua bulan dan tahap penuh kesan tumpahan minyak terhadap persekitaran pantai dan marin masih dinilai.
Dokumen mahkamah mendedahkan pada 14 Jun 2024 pada kira-kira pukul 7.58 pagi, pemutus litar yang mengawal aliran kuasa elektrik daripada salah satu janakuasa utama di atas kapal itu dibuka supaya kerja-kerja penyelenggaraan boleh dijalankan.
Ia dibiarkan terbuka meskipun selepas kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan.
Dua kru kapal Vox Maxima, Heidema dan Peijpers ditugaskan untuk memeriksa jentera kapal bagi memastikan ia beroperasi dengan selamat dan cekap.
Namun, mereka tidak berbuat demikian.
Mereka juga gagal pastikan bahawa bilik enjin berada dalam keadaan 'stand-by' dan mempunyai rizab kuasa yang mencukupi bagi menggerakkan peralatan mengemudi kapal korek tersebut dan keperluan lain.
Semasa menyediakan enjin utama bagi pelayaran kapal pada hari itu, mereka gagal menyedari bahawa pemutus litar terbuka dan oleh demikian, gagal menutupnya.
Pada Rabu (12 Mac), Timbalan Pendakwa Raya Regina Lim memohon denda antara S$40,000 dengan S$50,000 ke atas Heidema dan Peijpers.
Beliau berhujah tahap kesalahan mereka adalah sederhana kerana mereka cuai dalam menjalankan tugas sebagai pegawai memeriksa jentera kapal.
Sementara itu, Cik Lim memohon denda antara S$20,000 dengan S$30,000 bagi Sinke dan Ouwehand setelah menilai tahap kesalahan mereka adalah rendah.
Apabila menyerahkan rayuan mitigasi, para peguam bela berkata anak-anak guam mereka menyesali tindakan mereka dan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.
Hukuman mereka akan ditentukan pada 2 April.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.