Skip to main content

Singapura

4 kematian di tempat kerja akibat kurang prosedur kerja yang selamat: MOM

Anggaran Waktu Membaca:
4 kematian di tempat kerja akibat kurang prosedur kerja yang selamat: MOM

(Gambar: Facebook/Pasukan Pertahanan Awam Singapura)

SINGAPURA: Syarikat Summit Gas Systems (SGS) didenda S$270,000 di bawah Seksyen 20 Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja selepas satu kebakaran maut berlaku pada 21 Jun 2019. Kebakaran tersebut menyebabkan seorang pekerjanya mati.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Isnin (5 Dis).

Keputusan kes tersebut adalah salah satu daripada empat kes, yang dikeluarkan pada November di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

MOM menyatakan empat kes tersebut "menunjukkan beberapa perkara yang membimbangkan".
Ia termasuk jalan pintas yang diambil, serta kurangnya prosedur kerja secara selamat dan penilaian risiko yang patut dilakukan.

Kebakaran yang berlaku di SGS pada 2019, adalah disebabkan kegagalan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Insiden tersebut menyebabkan kematian seorang pekerja warga China.

Siasatan yang dijalankan MOM mendapati SGS tidak memastikan laluan kecemasan tidak mempunyai sebarang halangan, gagal mengawal risiko tong gas petroleum cecair (LPG) terhempap struktur lain, dan tidak menyediakan butang berhenti kecemasan di gudang mengisi tong gas.

SGS juga gagal membekalkan pekerjanya dengan baju perencat api dan memastikan pekerja diberi cukup maklumat untuk menjalankan tugas mereka, tambah kementerian tersebut.

Pengarah firma tersebut Ellen Teo Soak Hoon, didenda S$50,000 pada 30 November di bawah Seksyen 11(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja oleh kerana gagal melaksanakan semua langkah yang perlu untuk mencegah kesalahan-kesalahan tersebut.
TIGA LAGI KESILAPAN KESELAMATAN

Pada 18 November, Low Thiam Chuar, pengarah TC Builder & Machinery, didenda S$125,000 di bawah Seksyen 12(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

Seorang pekerja binaan bernama Tashfiqur, terbunuh semasa menjalani kerja-kerja menggantikan lif pada 14 Jan 2019, selepas tersepit di antara gerabak dan lantai lif.

Pada 29 November, seorang pengendali dan pemandu lori, Ho Man Kwong dijatuhi hukuman penjara lima bulan di bawah Seksyen 15(3A) Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

Majikannya, Koh Lian Kok yang merupakan pemilik syarikat Ban Keong Transport, didakwa di bawah Seksyen 20 Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja. Kes tersebut masih dibicarakan.

Syarikat JP Nelson Access Equipment, yang menggunakan khidmat syarikat Ban Keong Transport, pula didenda S$50,000 tahun lalu kerana gagal memastikan kontraktor yang diambil kerja mengambil langkah-langkah keselamatan dan kesihatan secukupnya.

Pada 29 November, pengarah syarikat Mass Engineering, Karuppaiah Mathi, didenda S$110,000 di bawah Seksyen 20 Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja.

Seorang pekerja maut dalam kejadian pada 21 Februari 2021 selepas terhimpit antara dua kontena.

Rakan setugas mangsa juga didakwa kerana bertindak cuai, menyebabkan kematian di tempat kerja.

"Apabila syarikat-syarikat, pihak pengurusan serta pekerja mereka lalai dalam melaksanakan amalan keselamatan, akibatnya boleh membawa maut," tegas MOM.

MOM menekankan bahawa para majikan dan pihak pengurusan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa langkah-langkah keselamatan disediakan untuk mengurangkan risiko bagi pekerja mereka.

Para pekerja juga harus mematuhi langkah-langkah tersebut dan melaporkan sebarang amalan yang tidak selamat.

"Sekiranya terdapat pihak-pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, MOM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan hukuman yang berat," tegas kementerian itu.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita