4 kelompok baru COVID-19 dikesan termasuk Dormitori Westlite Juniper
Singapura melaporkan 136 kes baru tempatan COVID-19 pada Selasa (27 Jul), termasuk 36 kes berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan dua berkait kelompok KTV.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 136 kes baru tempatan COVID-19 pada Selasa (27 Jul), termasuk 36 kes berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong dan dua berkait kelompok KTV.
Setakat lewat petang Selasa, terdapat 902 kes berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pusat Makanan & Pasar Hong Lim, yang kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.
Antara kes baru itu, 59 berhubung kait kes-kes terdahulu dan sudah pun dikenakan kuarantin dan 22 kes dikesan menerusi ujian pemantauan.
Baki 55 kes tidak terkait dengan kes-kes terdahulu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Tiga kes baru melibatkan individu berusia 70 tahun dan ke atas yang belum lagi divaksinasi atau sudahpun menerima satu dos vaksin dan berisiko menghidap penyakit serius, menurut MOH.
Selain itu, tiga kes import turut dilaporkan dan sudah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di sini. Dua daripada kes itu dikesan sejurus tiba di Singapura manakala seorang lagi dijangkiti COVID-19 semasa menjalani SHN atau pengasingan.
Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 139 kes baru COVID-19 pada Selasa.
4 KELOMPOK BARU
Empat kelompok baru dikenal pasti.
Antaranya kelompok dengan sebanyak sembilan kes di Dormitori Westlite Juniper. Lapan daripada kes itu, yang merupakan penginap dormitori tersebut, berhubung kait dengan kelompok itu pada Selasa.
Ini merupakan kelompok pertama dormitori yang aktif di Singapura sejak kelompok di dormitori Harvest @ Woodlands ditutup pada 24 Jun.
Terdapat juga kelompok empat kes yang berhubung kait dengan seorang pekerja pembersihan di Sekolah Rendah Punggol.
Pada masa ini, terdapat 39 kelompok aktif secara keseluruhan di Singapura, yang mempunyai antara tiga dengan 902 kes.
Lagi enam kes kini dikaitkan kepada kelompok di Samy's Curry Restaurant, yang kini mempunyai 28 kes secara keseluruhan.
Kelompok di Kasino Marina Bay Sands pula bertambah kepada 40 kes setelah lagi enam kes dikaitkan dengannya.
KIT UJI SENDIRI ART
MOH menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengagihkan kit ujian pantas antigen (ART) kepada para individu yang mengunjungi pusat makanan dan pasar tertentu sepanjang 14 hari lalu. Mereka yang tinggal berdekatan tempat-tempat itu layak menerima kit-kit ujian tersebut.
Tempoh terkini bagi pengambilan kit-kit ujian ART akan dijalankan dari 28 Julai hingga 29 Julai di Pusat Jawatankuasa Penduduk dekat Pasar Teban Gardens & Pusat Makanan serta Pusat Makanan 216 Bedok & Pasar.
MOH menyatakan mereka yang layak mengambil kit-kit itu "sangat digalakkan" untuk mengambilnya dan melakukan ujian sendiri. Butiran lanjut berhubung pengambilan kit-kit ujian tersedia tersedia online.
13 WARGA EMAS DALAM KEADAAN SERIUS
Kini terdapat 545 kes yang menjalani rawatan di hospital, di mana kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.
Terdapat 21 kes jangkitan serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan lagi dua dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
MOH menyatakan salah seorang daripada 23 kes itu sudah lengkap menerima dua dos vaksin namun memerlukan bantuan oksigen tambahan kerana beliau menghidap penyakit-penyakit lain.
Seramai 13 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, yang mana 12 daripadanya belum menerima vaksin atau baru mendapatkan satu dos vaksin, kini dalam keadaan serius.
"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah jangkitan serius apabila seseorang dijangkiti. Sepanjang 28 hari lalu, 27 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau sudah meninggal dunia.
"Empat belas belum lagi divaksinasi, 12 sudah menerima satu dos vaksin manakala satu lagi sudah menerima vaksin lengkap," menurut MOH.
Dalam satu kenyataan berasingan, MOH menyatakan ia sudah selesai menjalankan ujian COVID-19 ke atas para penduduk, pelawat dan mereka yang berinteraksi dengan para penduduk di Blok 842, 844, 846 dan 848 Sims Avenue pada 24 Julai.
Ujian itu termasuk para pemilik dan kakitangan unit-unit komersil yang bekerja di sana.
Kesemua 1,126 individu diuji negatif bagi COVID-19, menurut MOH.
Setakat Selasa, Singapura melaporkan 64,453 kes COVID-19 dan 37 kematian disebabkan virus itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.