4 hotel didenda S$1.5 juta kongsi data sensitif komersil
Wakil jualan dari empat hotel setempat berkongsi maklumat komersil sensitif berhubung pelanggan korporat mereka selama lebih setahun. Ini membawa kesan serius kepada amalan persaingan dalam industri berkenaan.
SINGAPURA: Wakil jualan dari empat hotel setempat berkongsi maklumat komersil sensitif berhubung pelanggan korporat mereka selama lebih setahun. Ini membawa kesan serius kepada amalan persaingan dalam industri berkenaan.
Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) menyatakan pada Rabu (30 Jan) bahawa pihaknya mengenakan denda lebih S$1.5 juta secara keseluruhan ke atas hotel-hotel yang melakukan amalan tersebut. Hotel-hotel tersebut adalah Capri oleh Fraser Changi City Singapore, Village Hotel Changi, Village Hotel Katong dan Crowne Plaza Changi Airport Hotel.
Keempat-empat hotel berkenaan diserbu pada Jun 2015 menyusuli siasatan yang mendedahkan bahawa amalan mereka melanggar Seksyen 34 Akta Persaingan.
Menerusi siasatannya, CCCS mendapati para wakil jualan hotel-hotel tersebut bertukar maklumat yang "besar kemungkinan mempengaruhi tingkah laku dalam pasaran atau memberi mereka kelebihan persaingan ke atas pelanggan dalam proses rundingan kontrak".
Amalan biasa dalam industri adalah para pelanggan korporat menetapkan senarai hotel pilihan bagi mendapatkan harga istimewa bagi tempoh yang tetap. Pihak hotel pula perlu bersaing untuk disenaraikan dan bersaing bagi tempahan bilik menerusi syarat kontrak, menurut agensi itu.
"KESAN PERSAINGAN SERIUS"
Namun wakil jualan dari empat hotel terlibat berkongsi maklumat yang memberi mereka kelebihan apabila berunding dengan pelanggan korporat.
Sebagai contoh, wakil jualan dari hotel-hotel Capri dan Village berkongsi butir rundingan semula kontrak dengan pelanggan korporat yang sama iaitu Standard Chartered Bank, menurut CCCS.
Menurut satu rekod perbualan WhatsApp pada 3 Nov 2014 yang diperolehi badan pemantau itu, seorang wakil Village Hotel dan rakan sejawatannya dari Capri mendedahkan kepada satu sama lain nilai potongan harga yang diminta oleh pelanggan tersebut.
CCCS menyatakan para wakil jualan berinteraksi antara satu sama lain secara kerap, terutamanya semasa para pelanggan sedang merundingkan kontrak atau memperbaharui kontrak dengan hotel-hotel. Hotel-hotel Capri dan Village didapati melanggar Akta Persaingan dari 3 Julai 2014 hingga 30 Jun 2015.
"Kedua-duanya menjejas fungsi persaingan biasa dan membawa kesan serius kepada persaingan di Singapura," menurut badan pemantau itu.
"Tanpa (hubungan itu), setiap wakil jualan perlu menentukan tingkah laku dalam pasaran secara bebas. Ini berkemungkinan akan menghasilkan kadar dan/atau syarat yang lebih berdaya saing untuk ditawarkan kepada para pelanggan korporat."
Atas sebab itu, CCCS mengenakan denda ke atas pemilik dan pengendali keempat-empat hotel tersebut, dengan Capri dikenakan denda paling berat.
Ketua eksekutif CCCS Toh Han Li berkata ini bukan kali pertama CCCS mengambil tindakan ke atas syarikat yang berkongsi maklumat komersil sensitif, namun ia merupakan kali pertama bagi industri hotel.
"Kami ingin menegaskan bahawa amalan (perniagaan) tertentu tidak boleh diterima," kata Encik Toh berhubung keputusan itu. Beliau menambah bahawa wakil jualan sepatutnya lebih peka bahawa perkongsian maklumat bagi situasi tertentu "boleh menjadi satu isu".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.