4 Duta Negara Bijak diiktiraf atas komitmen bantu masyarakat layari arus digital
BERITAmediacorp: Seramai empat duta Negara Bijak menerima pengiktirafan atas usaha mereka menjadikan Singapura sebuah masyarakat digital yang inklusif.
Di majlis penghargaan anjuran Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital itu, komitmen dan sumbangan para duta Negara Bijak yang lain turut diraikan.
Dengan tema 'Menggambarkan Masa Depan Negara Bijak', sebuah Dinding Lukisan Aspirasi Negara Bijak juga didedahkan di acara yang diadakan di Taman di Persisiran itu.
Ia memaparkan aspirasi masyarakat bagi Negara Bijak yang diidamkan mereka.
RAHIMAH SALIMIN ANTARA 4 INDIVIDU DIIKTIRAF
Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.
Itulah pegangan Cik Rahimah Salimin, 68 tahun yang banyak menyumbang kepada usaha menjadikan Singapura sebuah masyarakat digital yang inklusif.
Nenek kepada 19 orang cucu itu berkata bahawa beliau amat menghargai dan berterima kasih atas pengiktirafan tersebut.
"Masya-Allah, saya tidak menjangkakan ini semua. Saya tidak menjangka diiktiraf seperti ini. Ini adalah satu penghargaan pada saya. Saya nak kongsi dengan generasi akan datang ini supaya mengetahui walaupun kita daripada golongan warga emas, kita masih ada peluang lagi untuk belajar tentang digital," ujar Cik Rahimah.
Meskipun hampir mencecah usia 70 tahun, beliau tidak canggung mendakapi pendigitalan.
Beliau mula menyertai masyarakat U Live sejak 10 tahun lalu.
Sebagai duta, antara peranannya adalah untuk merancang dan menjalankan simposium Secara Langsung bagi para warga emas.
Bahkan, beliau mula berkhidmat sebagai relawan Negara Bijak pada 2019.
Sejak itu, beliau sudah menjadi relawan di lebih 10 pameran bergerak Generasi Merdeka bagi berkongsi dengan warga emas mengenai perkhidmatan digital pemerintah yang sedia ada.
Malah ketika pandemik COVID-19 melanda Singapura, Cik Rahimah juga bersungguh-sungguh membimbing para penduduk cara menggantikan token TraceTogether mereka dengan menggunakan mesin layan diri.
Dalam ucapannya di majlis ini, Menteri Bertanggungjawab bagi Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), Dr Janil Puthucheary menekan pentingnya peranan semua orang, tidak kira usia, dalam menjadikan Singapura sebuah masyarakat digital yang inklusif.
Beliau juga berkongsi rancangan seterusnya bagi Negara Bijak.
"Kami memikirkan cara bagaimana teknologi boleh bantu masyarakat menjadi lebih berdaya bingkas dan mengukuhkan hubungan antara manusia. Bagi semua usaha ini, kami akan perlukan sokongan dan kerjasama anda serta kepakaran bagi membangunkan sebuah Negara Bijak yang prihatin untuk semua orang," kata Dr Puthucheary.
Majlis itu dihadiri oleh lebih 200 duta Negara Bijak dan rakan-rakan kerja utama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.