Skip to main content

Singapura

4 ditangkap dalam operasi banteras vape di Tampines, kawasan CBD

Anggaran Waktu Membaca:
4 ditangkap dalam operasi banteras vape di Tampines, kawasan CBD

Pegawai HSA menghampiri seorang pengguna vape semasa operasi pengkuatkuasaan di Tampines pada 17 Sep 2025. (Gambar: CNA/Erin Liam)

Diterbitkan : 18 Sep 2025 11:01PM Dikemas Kini : 18 Sep 2025 11:02PM
SINGAPURA: Sedang mereka berjalan di tengah-tengah orang ramai pada lewat petang di Tampines, tiga pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memerhatikan keadaan sekeliling dengan penuh teliti.

Mereka berada di sana untuk menangkap pengguna vape sebagai sebahagian daripada operasi bersama selama empat hari bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi menyasarkan tempat-tempat dengan banyak kes penggunaan vape, termasuk di Tampines dan Daerah Pusat Bandar (CBD).

Secara keseluruhan, empat individu berusia antara 24 dengan 43 tahun ditangkap atas kesalahan berkaitan vape dan terus disaman.
Vape yang dirampas oleh HSA semasa operasi penguatkuasaan pada 17 Sep 2025. (Gambar: HSA)
Sebanyak 27 vape dan komponen berkaitan dirampas.

Anggota media dipelawa untuk menyaksikan operasi penguatkuasaan di Tampines pada Rabu (17 Sep).

Kumpulan media dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan mengikuti dua hingga tiga pegawai.

Tiada laluan ditetapkan; para pegawai sebahagian besar menyasarkan tempat merokok yang ditetapkan di pusat beli-belah - ada kalanya bergaul dengan para perokok dan duduk berhampiran dengan mereka.

Secara keseluruhan, dua orang ditangkap atas kesalahan berkaitan vape sepanjang operasi selama hampir tiga jam itu, yang bermula pada pukul 5.00 petang.

Pihak berkuasa juga merampas 18 vape dan komponen berkaitan secara keseluruhan.

Pengguna vape pertama ditangkap berhampiran tempat merokok itu selang 10 minit selepas operasi itu bermula.

Para pegawai HSA menghampiri pekerja penghantaran itu lalu mengenakan saman.

Di penghujung operasi itu, pegawai NEA menangkap seorang lagi lelaki dengan vape di luar pusat beli-belah.

Para pegawai menyuruh lelaki itu menanggalkan kasut dan jaket yang dipakai sambil mereka memeriksa barang miliknya.

Lelaki itu merayu dengan pegawai itu, tetapi dia juga dikenakan saman.

Ia tidak jelas sama ada mereka adalah pesalah kali pertama.

Semasa operasi itu, sembilan orang bawah umur ditangkap merokok dan dirujuk kepada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Perokok bawah umur ditahan oleh HSA semasa operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan vape pada 17 Sep 2025. (Gambar: CNA/Erin Liam)
Seorang individu berusia 20 tahun juga ditangkap dengan rokok tidak dibayar cukai.

Dia dirujuk kepada pegawai Kastam Singapura yang tiba di tempat kejadian kira-kira sejam kemudian.

Tindakan penguatkuasaan terhadap vape dipertingkatkan sedang Singapura membanteras amalan itu.

Pada 9 September lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA menyatakan lebih 5,000 pegawai penguatkuasaan barisan hadapan diberi kuasa untuk melaksanakan peraturan vape - hampir seganda berbanding jumlah sebelum ini.

Hukuman lebih tegas terhadap vape berkuat kuasa pada 1 September, dengan pesalah kali pertama bawah usia 18 tahun dikenakan denda S$500 manakala mereka yang berusia 18 tahun ke atas didenda S$700.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita