4 didakwa terima sogokan sebagai ganjaran lapor berat bagasi lebih rendah di Lapangan Terbang Changi
Empat lelaki didakwa pada Rabu (10 Apr) kerana menerima sogokan sebagai ganjaran tidak melaporkan jumlah berat sebenar bagasi yang didaftar masuk di Lapangan Terbang Changi. Demikian menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.

Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Francine Lim)
SINGAPURA: Empat lelaki didakwa pada Rabu (10 Apr) kerana menerima sogokan sebagai ganjaran tidak melaporkan jumlah berat sebenar bagasi yang didaftar masuk di Lapangan Terbang Changi. Demikian menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.
Mohammad Haris Mohammad Ali dan Gerizim Kirubai Raj Deved, kedua-dua rakyat Singapura, bersama penduduk tetap Ayyadurai Karunanithi dan warga India Patel Hiteshkumar Chandubhai setiap seorang didakwa atas satu tuduhan menerima rasuah sebagai ganjaran tidak melaporkan berat sebenar bagasi penumpang di sistem komputer daftar masuk penerbangan.
Kedua-dua Mohammad Haris dan Gerizim Kirubai Raj Deved adalah pegawai khidmat pelanggan bagi SATS Asia Pacific Star, manakala Ayyadurai Karunanithi dan Patel adalah pegawai khidmat pelanggan bagi UBTS.
Mohamad Haris, 23 tahun, menerima sekurang-kurangnya enam paket rokok bernilai sekitar S$66 daripada seorang individu bernama Ahmad beberapa kali antara April dengan Mei tahun lalu, menurut CPIB.
Gerizim Kirubai Raj Deved, 35 tahun, menerima sekurang-kurangnya S$630 beberapa kali antara Januari dengan Julai 2018 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Gajendran Ramesh.
Ayyadurai Karunanithi, 47 tahun, pula didakwa menerima rasuah berjumlah sekurang-kurangnya S$500 daripada Saravanan Muthuraja beberapa kali antara April dengan Mei tahun lalu.
Sementara itu, Patel, 37 tahun, mengambil rasuah sekurang-kurangnya S$800 antara Januari hingga Oktober 2016. Dia menerima sogokan itu daripada Gopal Krishna Raju, 37 tahun, seorang warga India yang turut didakwa pada Rabu.
Sesiapa yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dijel sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.