Skip to main content

Singapura

4 diberkas selepas disyaki terlibat kes culik, ancam guna parang

Anggaran Waktu Membaca:
4 diberkas selepas disyaki terlibat kes culik, ancam guna parang

Sebilah parang daripada suspek berusia 38 tahun itu. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 01:28PM
SINGAPURA: Dua lelaki dan dua wanita, berusia antara 30 dengan 38 tahun, diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan dan pemilikan senjata di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya untuk kegunaan yang dirancang, menurut polis pada Rabu (5 Ogos).

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya dimaklumkan mengenai seorang lelaki yang diugut sekumpulan individu menggunakan parang di sebuah tempat letak kereta di Canberra Street sekitar 1.55 pagi pada Selasa.

"Siasatan awal mendapati empat individu itu berdepan dengan mangsa berhubung pertikaian mengenai perjanjian khidmat sewa kereta, dan lelaki berusia 38 tahun daripada kumpulan tersebut mengacukan parang serta mengugut mangsa," menurut polis.

Mangsa kemudian diminta duduk di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan kenderaannya dan lelaki berusia 38 tahun itu memandunya ke lokasi lain, manakala seorang lagi lelaki berusia 36 tahun duduk di bahagian belakang.

Bertindak atas maklumat yang diterima, beberapa pegawai berjaya mengesan kenderaan mangsa. Apabila lelaki berusia 38 tahun itu ternampak polis, dia melarikan diri dengan memandu kenderaan tersebut bersama mangsa dan lelaki berusia 36 tahun itu sebagai penumpang.

Polis mengejar kenderaan itu sebelum ia merempuh sebatang tiang lampu di persimpangan antara Woodlands Avenue 7 dengan Woodlands Avenue 10.

Selepas perlanggaran itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut melarikan diri dengan berjalan kaki manakala lelaki berusia 38 tahun itu diberkas di tempat kejadian, dengan sebilah parang ditemui padanya.
Related article image
Kenderaan mangsa yang terbabas di persimpangan antara Woodlands Avenue 7 dengan Woodlands Avenue 10 pada 4 Ogos 2026. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Lelaki berusia 36 tahun itu serta dua wanita berusia 30 dan 38 tahun kemudian ditangkap secara berasingan hasil siasatan susulan.

Lelaki berusia 38 tahun itu akan didakwa di mahkamah pada Rabu atas tuduhan menculik di bawah Kanun Keseksaan serta memiliki senjata di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.

Jika didapati bersalah atas kesalahan menculik, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat atau dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Jika didapati bersalah kerana memiliki senjata di bawah Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun serta dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali.

Siasatan polis terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dan dua wanita tersebut masih dijalankan.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita