Skip to main content

Singapura

4 diberkas, dadah bernilai S$480,000 dirampas dalam serbuan di Jurong West

Empat rakyat Singapura diberkas dan dadah dianggarkan bernilai S$480,000 dirampas dalam satu serbuan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), menurut agensi itu pada Khamis (2 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Empat rakyat Singapura diberkas dan dadah dianggarkan bernilai S$480,000 dirampas dalam satu serbuan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB), menurut agensi itu pada Khamis (2 Feb).

Dalam satu kenyataan media, CNB menyatakan keempat-empat suspek, yang berusia antara 36 hingga 54 tahun, diberkas kerana dipercayai melakukan kesalahan dadah dalam serbuannya pada Selasa (31 Jan).

Sekitar 6.78 kilogram heroin, 9 gram Ice, 22 gram ganja, 102 pil Erimin-5 dan 14 botol metadon dirampas dalam operasi tersebut.

Jumlah heroin yang dirampas boleh memenuhi ketagihan sekitar 3,200 penyalah guna dadah untuk seminggu, kata pengarah divisyen perisikan CNB Aaron Tang.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Tang berkata: "Jika dadah yang dirampas dalam serbuan itu diedarkan di Singapura, kehidupan 3,200 penyalah guna dadah dan keluarga mereka kemungkinan musnah."

Semasa serbuan itu, CNB menyatakan para pegawainya memberkas seorang lelaki berusia 49 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah blok perumahan dekat Jurong West Street 93 kerana disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah.

Ketika pegawai CNB mahu memberkas kedua-dua suspek, lelaki itu bergelut dan "kekerasan sewajarnya digunakan untuk menahannya", menurut CNB.

Para pegawai CNB kemudian merampas beberapa paket dan penyedut yang mengandungi sekitar 70 gram heroin daripada lelaki berkenaan. 

Selepas pasangan itu diberkas, pegawai CNB menggeledah tempat tinggal lelaki itu yang terletak di blok yang sama, di mana seorang lelaki berusia 51 tahun dan seorang lagi berusia 54 tahun turut ditangkap.

Sekitar 7 gram heroin, dua pil Erimin-5 dan lima botol metadon dirampas dari pelbagai tempat dalam unit itu.

CNB menambah sebelum mereka diberkas, dadah disyaki dadah terkawal - termasuk bungkusan mengandungi sekitar 32 gram heroin - dipercayai dibuang ke luar tingkap unit tersebut.

Bungkusan dadah itu kemudian ditemui oleh pegawai CNB.

Baki heroin, Ice, ganja, pil Erimin-5 dan metadon ditemui di tempat persembunyian disyaki milik lelaki pertama di blok yang sama.

Menurut Encik Tang: "Tiada tempat untuk dadah dalam masyarakat kita. Pegawai kami akan terus berusaha gigih dalam membuat langkah susulan terhadap semua maklumat disyaki berkaitan kegiatan dadah dengan mengumpulkan maklumat risikan dengan teliti dan melancarkan serbuan tepat pada masanya untuk menangkap para pesalah ini."

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, ia adalah satu kesalahan jika seseorang mengedar atau menawarkan untuk mengedar dadah terkawal.

Ini tidak kira sama ada mereka melakukannya untuk diri sendiri atau bagi pihak orang lain.

Jika individu itu didapati bersalah mengedar lebih 15 gram diamorfin, dia boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Siasatan masih dijalankan, menurut CNB dalam kenyataannya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita