4 diberkas bergaduh di Clarke Quay; dakwaan polis guna kekerasan berlebihan tidak benar
Demikian menurut polis hari ini (6 Feb), sambil menyangkal dakwaan bahawa para pegawai menggunakan kekerasan berlebihan ke atas salah seorang suspek.
30 Merchant Road. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Empat orang diberkas selepas tercetus satu pergaduhan di Clarke Quay.
Demikian menurut polis hari ini (6 Feb), sambil menyangkal dakwaan bahawa para pegawai menggunakan kekerasan berlebihan ke atas salah seorang suspek.
Tiga lelaki - dua berusia 18 tahun dan seorang berusia 22 tahun - ditangkap atas kesalahan bergaduh dan mengganggu ketenteraman awam.
Seorang lagi suspek berusia 16 tahun juga ditangkap kerana menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai perkhidmatan awam.
Dalam satu kenyataan medianya, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai pergaduhan di 30 Merchant Road itu sekitar pukul 9.40 malam semalam (5 Feb).
Tiga lelaki dipercayai bergaduh sesama sendiri dan salah seorang suspek berusia 18 tahun itu dikatakan menyondol suspek berusia 22 tahun.
"Para pegawai menyedari terdapat kecederaan pada bahagian muka suspek berusia 18 tahun yang dipercayai akibat pergaduhan itu dan ia berdarah di bahagian dahi," menurut SPF.
"Suspek berusia 22 tahun itu pula patah gigi."
Kedua-dua suspek diberikan bantuan perubatan oleh para pegawai dan paramedik di tempat kejadian.
Suspek 18 tahun itu kemudian dihantar ke hospital di mana laporan awal perubatan mengesahkan luka pada bahagian dahi, menurut polis, sambil menambah tiada kecederaan serius lain dilaporkan.
Suspek berusia 16 tahun itu ditangkap selepas dia cuba mencegah pegawai polis daripada menangkap suspek berusia 18 tahun. Malah, dia menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai, menurut SPF.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Menerusi rakaman video insiden itu, yang tular di media sosial, polis dilihat memberkas beberapa orang dan dilihat menggunakan kayu belantan.
"Polis sedar tentang adanya video yang dimuat naik online yang tidak memberi gambaran penuh apa yang berlaku," menurut SPF hari ini.
"Terdapat tuduhan-tuduhan bahawa para pegawai penggunakan kekerasan berlebihan ke atas suspek berusia 18 tahun sehingga berdarah pada bahagian kepala. Ini tidak benar," tambah SPF.
"Para pegawai sudah menilai keadaan dan mengambil tindakan yang diperlukan ke atas lelaki berusia 18 tahun itu termasuk menggunakan kayu belantan semasa menangkapnya kerana dia bertindak agresif dengan bergelut untuk elak ditangkap.
"Berbeza dengan tuduhan-tuduhan itu, para pegawai tidak memukul muka suspek dengan kayu belantan. Dia digari selepas ditenangkan."
Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan menyebarkan maklumat yang tidak berasas.
Kesalahan bergaduh boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali. Kesalahan mengganggu ketenteraman awam pula boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang sabit kesalahan menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai awam boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.