4 diberkas; 257 botol arak seludup dirampas dalam serbuan Kastam SG
Pada sekitar pukul 9.00 malam pada Selasa (8 Okt), seramai 12 anggota media menaiki dua van bersama para kakitangan dari Kastam Singapura.
Para anggota media hanya dimaklumkan bahawa satu operasi penguatkuasaan sedang dijalankan ke atas penjualan minuman keras tanpa cukai.
Walaupun operasi itu dijalankan secara kerap, ini merupakan kali pertama pihak media diundang untuk menyaksikannya.
Berhenti di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan Jurong West, para wartawan dari Mediacorp memerhatikan sebuah lori dikepung di ruang pemunggahan.
Para pegawai kastam mengepung kenderaan itu dan memeriksa kotak minuman keras yang diseludup.
Sebanyak 129 botol mengandungi dua liter baijiu - iaitu minuman keras Cina dengan kandungan alkohol sebanyak 56 peratus - ditemui di bahagian belakang serta di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebuah lori yang digunakan untuk menghantar barangan seludup.
Ini adalah antara 257 botol yang dirampas semasa operasi penguatkuasaan dijalankan di beberapa lokasi ke atas penjual dan pembeli awal minggu ini, menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Minuman keras tidak dibayar cukai yang dirampas itu dianggarkan sekitar 668.5 liter.
Lori itu serta dua mesin penyulingan turut dirampas dalam operasi tersebut.
Duti dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielakkan dianggarkan kira-kira $35,932, menurut Kastam Singapura.
Dua lelaki warga China dan seorang wanita rakyat Malaysia berusia antara 42 dan 63 tahun dberkas kerana menghantar minuman keras tanpa cukai itu.
Seorang lelaki warga Singapura berusia 45 tahun turut diberkas kerana menyimpan minuman keras tanpa cukai di kediamannya, menurut Kastam Singapura, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan.
Dari Januari hingga Jun tahun ini, terdapat seramai 869 pesalah arak yang tidak dibayar cukai, menurut statistik yang disediakan oleh pihak kastam.
Sepanjang tempoh itu, sejumlah 10,020liter minuman keras tanpa cukai telah dirampas.
Membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barang yang tidak dibayar cukai adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.
Pesalah boleh didenda sehingga 20 kali ganda jumlah duti dan cukai GST yang dielakkan, dihukum penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut juga boleh disita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.