Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 diberkas, 1,100 karton rokok seludup dirampas dalam operasi kastam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga lelaki serta seorang wanita diberkas dan 1,100 karton rokok yang tidak dibayar cukai dirampas dalam sebuah operasi berdekatan Waringin Park, menurut Kastam Singapura pada Khamis (30 Jun). 

Sewaktu operasi yang dijalankan pada Selasa (28 Jun), para pegawai melihat kotak-kotak dialihkan dari sebuah van berdaftar di Singapura ke sebuah kereta berdaftar di Singapura yang diletakkan bersebelahan satu sama lain. 

Para pegawai mengesyaki bahawa kotak-kotak itu mengandungi rokok seludup lalu bergerak untuk memeriksa tiga lelaki dan wanita berkenaan. 

Mereka menemui 150 karton rokok seludup di dalam kereta tersebut dan 950 karton di dalam van. 

Empat suspek itu - dua lelaki warga asing, seorang lelaki Singapura dan seorang wanita Singapura yang berusia antara 25 hingga 42 tahun - kemudian diberkas. 

Rokok yang tidak dibayar cukai, dua kenderaan itu dan wang tunai berjumlah S$6,300 yang ditemui pada dua warga asing berkenaan - disyaki berhubung kait dengan urus niaga rokok seludup -  turut dirampas oleh para pegawai, menurut Kastam Singapura. 

Jumlah cukai serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielakkan berjumlah sekitar S$101,000, menurut Kastam Singapura sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan. 

Perbuatan membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barangan tidak dibayar cukai merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST, menurut agensi tersebut. 

Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali jumlah cukai dan GST yang dielakkan, dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali. 

Kenderaan yang digunakan untuk melakukan jenayah sedemikian serta hasil jualan rokok seludup juga boleh disita. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan