Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 daya tarikan yang mesti dikunjungi cuti sekolah ini

Jika anda ingin melakukan kegiatan fizikal tetapi enggan berpanas di bawah terik mentari, inilah senarai kegiatan yang BERITAmediacorp sediakan untuk anda.

Anggaran Waktu Membaca:
4 daya tarikan yang mesti dikunjungi cuti sekolah ini

Ingin melakukan kegiatan fizikal tetapi enggan berpanas di bawah terik mentari? Inilah senarai kegiatan cuti sekolah khas buat anda sekeluarga!

SINGAPURA: Masa yang dinanti-nantikan sepanjang tahun hampir tiba! Jika anda seorang ibu atau bapa, jadual cuti sekolah hujung tahun tentu mahu diisi dengan pelbagai rancangan menarik untuk seisi keluarga.

Selain bersuka ria seisi keluarga, kegiatan-kegiatan yang ingin dilakukan pasti sesuatu yang juga dapat menerapkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak.

Jika anda ingin melakukan kegiatan fizikal tetapi enggan berpanas di bawah terik mentari, inilah senarai kegiatan yang BERITAmediacorp sediakan untuk anda:

SUPERPARK SINGAPORE: TUBUH MANUSIA SEBAGAI ENJIN

Terletak di tengah-tengah kota Singapura, SuperPark bakal membuka pintunya di Asia Tenggara buat pertama kalinya pada 17 November ini.

Ia merupakan taman tema tertutup yang menyediakan 20 aktiviti fizikal yang menggalak gaya hidup sihat.

Konsep yang diilhamkan dari Finland itu berbeza daripada taman tema lain yang kebanyakannya menawarkan aktiviti-aktiviti bermotor. Sebaliknya, pergerakan semula jadi tubuh manusia menjadi tumpuan utama taman ini.

(Gambar: SuperPark) 

“Kanak-kanak dan belia di Singapura secara amnya menumpukan lebih perhatian kepada pelajaran. Jadi mereka tidak meluangkan banyak masa untuk bermain secara bebas ataupun bersukan. Tetapi di Finland, kanak-kanak diberikan lebih banyak ruang untuk meneroka dan membangunkan diri mereka dari segi mental dan fizikal dalam persekitaran yang bebas daripada tekanan. Jadi di SuperPark Singapore kami ingin berkongsi keriangan untuk bermain dan bergerak - tidak kira umur atau tahap kecergasan seseorang,” kata Encik Mark Kumarasinhe, CEO SuperPark Asia.

(Gambar: SuperPark) 

SuperPark juga bakal melancarkan tiga pengalaman permainan baru khas bagi cawangannya yang seluas 40,000 kaki persegi di Suntec City.

Untuk butiran lanjut sila ke https://www.superpark.com.sg/.

‘POINSETTIA WISHES’ BERSAMA DISNEY TSUM TSUM:MUSIM SEJUK DATANG KE S’PURA

Dari bulan ini sehingga Januari tahun depan, Taman Di Pesisiran (Gardens by the Bay) membawa watak-watak popular Disney Tsum Tsum lebih dekat dengan para penggemarnya, sempena cuti sekolah hujung tahun.

Antara watak-watak Disney di 'Gardens by the Bay'. (Gambar: BERITAmediacorp) 

Selain peluang bergambar bersama lebih 40 watak comel, para pengunjung juga boleh mencuci mata dengan lebih 8,000 bunga Poinsettia serta juga pokok-pokok conifer yang dipamerkan di Flower Dome. Bunga-bunga Poinsettia dan Conifer sering dikaitkan dengan perayaan Krismas.

Bunga-bunga Poinsettia di 'Poinsettia Wishes' Bersama Tsum Tsum (Gambar: BERITAmediacorp) 

“Bunga-bunga dan pokok-pokok ini kami bawa ke Singapura dari Amerika Syarikat khas buat pameran ini. Tujuan kami ialah untuk memberi mereka di Singapura pengalaman musim sejuk. Contohnya kami akan turunkan suhu pada waktu malam, sama seperti di negara-negara yang mengalami musim salju,” kata Timbalan Pengarah, Operasi Konservatori Taman Di Pesisiran, Encik Chad Davis.

Ini memberi peluang kepada para ibu bapa dan anak-anak mereka untuk belajar tentang tumbuh-tumbuhan bukan tempatan.

“Saya rasa pameran seperti ini bagus dan bermanfaat bagi kanak-kanak kerana ia mendedahkan mereka kepada alam semula jadi,” kata Cik Siti Muslimah Ahmad Sainal yang berkunjung ke Flower Dome bersama rombongan sekolah anaknya, pada hari pembukaan pameran Poinsettia Wishes itu.

Untuk butiran lanjut sila ke https://www.gardensbythebay.com.sg/poinsettia.

HEADROCK VR: HIDUPKAN IMAGINASI DENGAN REALITI MAYA

Pameran peranti realiti maya atau ‘virtual realiti’ (VR) sering dilihat di acara-acara teknologi digital tertentu.

Bagi mereka yang gemar dengan konsep realiti maya seperti itu, terutama golongan belia, kini terdapat sebuah taman tema tertutup khas bagi permainan-permainan yang berunsurkan realiti maya.

HeadRock VR bakal dilancarkan buat pertama kali di Asia Tenggara pada 17 November ini.

Berasal dari Korea Selatan, taman tema yang bertempat di Sentosa Gateway itu, menawarkan 11 permainan VR. Ini termasuk Storm Blizzard Ride yang merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Permainan-permainan di Headrock VR dibahagikan kepada tiga kategori, biru, jingga dan hijau, di mana para pengunjung boleh membeli tiket-tiket menurut gabungan permainan yang disediakan.

Untuk butiran lanjut sila ke https://www.facebook.com/headrockvrsg/.

KEM KIDZANIA: SEMANGAT KEUSAHAWANAN DIPUPUK DARI USIA MUDA

Khas sempena cuti sekolah kali ini, taman tema tertutup, KidZania, kembali lagi dengan Kem KidZania. Ia adalah perkhemahan semalaman, di mana kanak-kanak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang memupuk semangat keusahawanan.

Kem yang bakal berlangsung dari 7 hingga 8 Disember itu membolehkan kanak-kanak untuk mencuba dan meneroka pelbagai kerjaya dan juga mempelajari lebih tentang diri mereka sendiri.

(Gambar: KidZania Singapore)

Taman tema tersebut juga bakal mengadakan acara ‘Wishing Stars’ yang buat pertama kalinya membuka pintu secara percuma kepada orang ramai pada sebelah malam dari 21 hingga 31 Disember ini.

Pelbagai aktiviti dijangkakan seperti bengkel ‘robotics coding’, pameran pencahayaan dan bazar Krismas.

KidZania juga menyediakan ruang bagi kanak-kanak belajar bagaimana membungkus hadiah-hadiah untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan.

(Gambar: KidZania Singapore) 

“Kami ingin mewujudkan suasana yang memberikan tumpuan kepada kanak-kanak (kid-centric). Dan dengan memanjangkan waktu operasi KidZania, kami berharap ia dapat memberi peluang kepada keluarga untuk meluangkan lebih banyak masa antara satu sama lain pada musim cuti ini,” kata Encik Leong Yue Weng, Pengurus Besar KidZania Singapore.

Untuk butiran lanjut sila ke http://kidzania.com.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan