Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 anak Melayu/Islam raih Anugerah NIE 2019

Empat anak Melayu/Islam menerima Anugerah Institut Pendidikan Nasional (NIE) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Empat anak Melayu/Islam menerima Anugerah Institut Pendidikan Nasional (NIE) tahun ini.

Mereka adalah antara 975 mahasiswa NIE yang menerima watikah pelantikan mereka menjadi guru sepanjang dua hari ini (2 & 3 Jul).

BERITAMediacorp bertemu dengan dua pemenang itu.

CINTA FARIDAH KEPADA BAHASA MELAYU DIPUPUK SEJAK KECIL

Minat Faridah Mohamed Ali kepada Bahasa Melayu dipupuk sejak beliau kecil lagi.

Sedang kanak-kanak sebayanya membesar dengan cerita kartun, Faridah pula lebih gemar mendengar ayahnya membaca kisah sejarah orang-orang Melayu Singapura.

Arwah datuknya pula sering merantau ke pelbagai wilayah Nusantara dan membawa pulang cerita orang Melayu di sana.

Pendedahan itu menjadi titik tolak bagi Faridah untuk menjadi guru Bahasa Melayu, dengan pengkhususan dalam bahasa dan sastera Melayu.

Malah, penerima ijazah Sarjana Pendidikan dengan kepujian itu, banyak memperkenalkan unsur-unsur sejarah, budaya Melayu serta nyanyian untuk memudahkan pembelajaran dalam kelas.

Menurut Faridah: "Peribahasa itu adalah sesuatu yang janggal bagi para pelajar, mereka tidak dapat kaitkan alam dengan kehidupan seharian mereka. Jadi kami mengenalkan contohnya nyanyian untuk mengingatkan peribahasa."

"Kaki bangku tidak pandai bermain bola, kecil hati berasa tersinggung, keras kepala degil, lurus atau jujur, itulah peribahasa kita," nyanyi beliau, yang kini merupakan guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Fuhua.

Faridah juga turut memenangi Anugerah Buku Koperatif Syarikat Guru-Guru Melayu Singapura.

MUHAMMAD SUFRI TIDAK BERPUTUS ASA, TERUS KEJAR CITA-CITA JADI GURU

Bagi graduan jurusan pendidikan jasmani dan Matematik, Muhammad Sufri Ramli, Kepujian Kelas Pertama yang diraihnya tidak datang bergolek.

Kegagalan untuk masuk NIE pada percubaan kali pertama tidak mematahkan semangat beliau, untuk terus mengejar cita-citanya bagi bergelar guru.

Bahkan Sufri juga menerima Anugerah Buku Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura.

"Abang saya, beliau banyak berkongsi dengan saya kisah-kisah semasa bergiat sebagai seorang guru dan kisah-kisah beliau memberikan saya inspirasi.

Beliau dapat membentuk peribadi pelajar beliau dan ia memberikan saya semangat yang mendalam untuk mengikuti jejak langkahnya," kata Sufri yang kini mengajar di Sekolah Mee Toh.

Para graduan menerima watikah masing-masing daripada Menteri Kedua Pendidikan Indranee Rajah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan