Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3SG Muhammad Zul Hilmi lanjut NS lagi 3 bulan; bantu RSS Endeavour semasa pandemik COVID-19

Sungguhpun tidak dapat meluangkan banyak masa dengan keluarga sepanjang tempoh menjalani Perkhidmatan Negara (NS), anggota Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), 3SG Muhammad Zul Hilmi Jumari, berharap kemunculannya semasa pertunjukan NDP 2020 kelak akan membanggakan mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
3SG Muhammad Zul Hilmi lanjut NS lagi 3 bulan; bantu RSS Endeavour semasa pandemik COVID-19

Anggota RSN, 3SG Muhammad Zul Hilmi Jumari. (Gambar: RSN/Facebook)

SINGAPURA: Sungguhpun tidak dapat meluangkan banyak masa dengan keluarga sepanjang tempoh menjalani Perkhidmatan Negara (NS), anggota Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), 3SG Muhammad Zul Hilmi Jumari, berharap kemunculannya semasa pertunjukan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2020 kelak akan membanggakan mereka.

Hampir setiap pemuda Singapura yang melalui NS pasti menanti-nantikan tamatnya tempoh khidmat NS mereka atau ORD, namun, lain pula bagi 3SG Zul yang memilih untuk melanjutkan lagi tempoh perkhidmatannya.

Sedang kebanyakan anggota NS lain mendambakan "kebebasan" mereka, 3SG Zul pula hanya mahu melakukan perkara yang betul dengan terus berkhidmat dan menghulurkan bantuan di atas kapalnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Disebabkan strategi pengasingan bagi mencegah penularan, kapal kami dibahagikan kepada dua pasukan. Saya dijadualkan ORD pada Mei tetapi saya memilih untuk melanjutkan khidmat saya lagi tiga bulan bagi membantu," ujar 3SG Zul.

"Ia adalah situasi di mana semua orang perlu bekerja keras tetapi saya rasa ia satu bonus buat saya kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakan-rakan."

Setiap kali beliau keluar ke laut untuk melindungi perairan Singapura yang sibuk, Pakar Senjata bagi Kapal Pendaratan, RSS Endeavour, itu menyedari betapa besar tanggungjawabnya itu terhadap kehidupan keluarga dan rakan-rakannya.

"Sebagai sebuah negara maritim, laut memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Kapal-kapal yang membawa barangan penting seperti bekalan makanan dan barangan keperluan memasuki Singapura melalui laut setiap hari. Saya rasa bertuah dapat memainkan peranan kecil saya untuk negara," luah 3SG Zul seperti ditukil dalam catatan Facebook RSN pada Jumaat (7 Ogos).

Sempena NDP yang bakal menjelang ini, pasukan 3SG Zul akan mengambil bahagian dalam upacara Layar Lalu Maritim sebagai menghargai sumbangan dan kerja keras kakitangan dalam sektor tersebut sepanjang pandemik COVID-19.

"Ia adalah satu penghargaan buat saya untuk menyertai Layar Lalu Maritim pada NDP2020 sebelum ORD. Melalui layar lalu ini, saya berharap dapat membuktikan kepada keluarga saya akan sumbangan saya buat tentera laut."

Bersama-sama dengan para anggota kapalnya yang lain, 3SG Zul akan mengenakan pakaian seragam No.1 serba putih untuk memberi penghormatan dan membariskan geladak di RSS Endeavour semasa upacara Layar Lalu Maritim.

"Kawalan kehormatan kami sebagai penghargaan kepada para pekerja barisan hadapan dan khidmat penting serta pelayar yang telah menyumbang untuk memastikan rantaian bekalan maritim Singapura terus berjalan lancar semasa pandemik ini.

"Saya berharap lebih ramai rakyat Singapura akan menghargai betapa terhubungnya cara hidup kita dengan laut," kata 3SG Zul.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan