Skip to main content

Singapura

3SG Muhammad Danial Ashad antara 1,189 kadet berjaya tamat kursus spesialis SAF

Muhammad Danial Ashad adalah antara 1,189 kadet kohort ke-44 tahun 2020 yang menerima pentauliahan dalam satu upacara hari ini (20 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Aug 2020 03:13PM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 08:47PM

SINGAPURA: Impian menjadi nyata.

Begitulah realitinya bagi anak muda berusia 21 tahun, 3SG Muhammad Danial Ashad, antara yang berjaya tamat kursus kadet spesialis Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Spesialis Infantri Tentera itu juga penerima bayonet perak.

Anggota Perkhidmatan Negara (NSF) itu adalah antara 1,189 kadet kohort ke-44 tahun 2020 yang menerima pentauliahan dalam satu upacara hari ini (20 Ogos).

3SG Muhammad Danial sepatutnya tamat kursus bersama kohort ke-42. Namun, disebabkan kemalangan motosikal yang dialaminya dalam bulan Oktober 2019 - iaitu kira-kira sebulan selepas memulakan kursus tersebut, beliau terpaksa digugurkan.

Danial mengalami tulang retak pada bahagian tangan dan kaki serta melecet pada sebahagian besar kulitnya dari kepala hingga kaki.

Malah, beliau juga terlepas tempoh penyertaan bagi kohort ke-43 kerana masih belum pulih.

Namun, disebabkan cita-citanya untuk terus menyarungkan seragam hijau lambang SAF sebagai kerjaya, Muhammad Danial bangkit menongkah arus dan berusaha sedaya upaya untuk pulih semula secepat mungkin.

"Pada mulanya agak susah kerana tangan dan kaki saya rasa tak selesa sebab sudah lama disalut plaster. Jadi agak sukar dan kurang selesa untuk kembali sihat secara jasmani untuk sama kembali ke infantri. Kerana dalam infantri kita mesti betul-betul fit untuk lakukan semua perkara," kata 3SG Muhammad Danial.

Related article image
Muhammad Danial Ashad (tengah). (Gambar: Muhammad Danial Ashad)

3SG Muhammad Danial Ashad (tengah). (Gambar: Muhammad Danial Ashad)

Sekalipun demikian, 3SG Muhammad Danial membulatkan tekad dan 'paksa' dirinya untuk berlari-lari anak atau bersenam, baik pada hari-hari biasa mahupun hujung minggu.

Beliau mengambil masa dua bulan untuk pulih dan dua bulan untuk menunggu peluang menyertai Kursus Kadet Spesialis kohort ke-44 yang bermula pada bulan Mac lalu.

Semangatnya itu membuatkan ketuanya sebelum ini berasa kagum dan memutuskan untuk memberikan beliau peluang menyertai semula Kursus Kadet Spesialis SAF itu.

"Saya benar-benar inginkan kerjaya dalam tentera. Jadi saya tidak mahu berputus asa hanya kerana saya mengalami kemalangan. Bagi saya ia hanya kemalangan kecil dan saya rasa jika saya boleh pulih bermakna saya boleh kembali menyertai tentera," kongsi 3SG Muhammad Danial.

IBU BAPA DULU BIMBANG, KINI BANGGA

Keputusan 3SG Muhammad Danial itu pada awalnya tidak dipersetujui oleh ibu bapanya.

Ini memandangkan beliau seorang anak tunggal. Ibu bapanya berasa bimbang dan mahu beliau hidup selesa dan tidak perlu melakukan kerja-kerja yang berat dan lasak.

Namun, 3SG Muhammad Danial berjaya menjelaskan kepada mereka tentang impiannya itu.

"Saya ambil inisiatif untuk duduk dan berbincang dengan mereka. Saya jelaskan bahawa ini yang saya mahukan dalam kehidupan saya kerana saya boleh sesuaikan diri dalam tentera. Di sinilah saya rasa semangat kekitaan. Kini ibu bapa saya amat berbangaa dengan saya," ujar 3SG Muhammad Danial.

3SG Muhammad Danial mendapat inspirasi untuk menyertai tentera daripada sepupunya, yang merupakan seorang pengawal tentera.

Muhammad Danial bersama ibunya. (Gambar: Muhammad Danial Ashad)

Muhammad Daniel bersama ibunya. (Gambar: Muhammad Danial Ashad)

BANGGA SARUNG SERAGAM HIJAU

Timbul rasa ingin tahu yang membuak-buak tentang apa yang dilakukan seorang askar dalam tentera.

"Saya nak tahu bagaimana kerjaya dalam tentera, apakah bidang-bidang kerjaya yang ada. Apabila saya berbual dengan sepupu saya, beliau berkongsi banyak fakta menarik tentang kehidupannya sebagai seorang askar.

"Saya jadi semakin berminat dan semasa BMT saya dapat rasakan saya boleh sesuaikan diri. Apabila saya menyarung seragam hijau ia memberikan saya satu kepuasan yang tidak terungkap. Saya rasa bangga," cerita 3SG Muhammad Danial.

Beliau kini sedang menunggu keputusan permohonannya untuk meneruskan kerjaya sebagai pengawal tentera, bidang yang sama dengan sepupunya.

Daripada 1,189 kadet yang tamat kursus hari ini, 1,013 merupakan anggota tentera Singapura, 84 adalah dari Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), 46 dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan 46 dari spesialis siber Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Mereka menerima bayonet masing-masing dalam satu upacara berasingan yang dianjurkan oleh Institut Latihan vokasional masing-masing.

SAF BERI KEKUATAN KEPADA NEGARA DI TENGAH-TENGAH PANDEMIK

Semasa menyampaikan ucapannya menerusi satu rakaman video, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan, Dr Janil Puthucheary berkata kohort kadet kali ini memulakan kursus mereka kira-kira lima bulan lalu - iaitu dalam "tempoh yang luar biasa".

Dr Janil Puthucheary menambah SAF sudah memainkan peranan dengan memberikan kekuatan kepada negara sepanjang pandemik COVID-19.

Anggota perkhidmatan negara baik lelaki mahupun wanita kata Dr Janil dikerahkan ke pelbagai operasi termasuk usaha-usaha pengesanan kenalan rapat, pengagihan pelitup dan khidmat perubatan.

Related article image
(Gambar: SAF)

(Gambar: SAF)

Meskipun berdepan cabaran-cabaran COVID-19, SAF masih terus mempertahankan Singapura, tambah beliau.

Malah latihan-latihan para kadet juga berterusan, dengan memastikan langkah-langkah keselamatan diambil.

"Dalam kita berdepan dengan konteks baru ini, sekali dengan pelbagai cabaran keselamatan, SAF mesti terus kukuh dan boleh menyesuaikan diri untuk mempertahankan kedaulatan dak keselamatan kita.

"Saya yakin bahawa SAF akan terus berwaspada dan bersedia untuk menentang segala bentuk ancaman, sedang ia terus menjadi sebahagian daripada usaha negara memerangi pandemik ini," kata Dr Janil.

Beliau juga menyeru agar para kadet itu memimpin dengan baik, wanita dan lelaki di bawah jagaan mereka.

"Pimpinlah anak didik anda melalui contoh yang baik dan terus berpegang kepada nilai-nilai diri sedang anda mengharungi perjalanan ini bersama-sama mereka. Kami yakin anda akan membangunkan unit-unit yang padu dan kuat, yang berupaya mempertahankan Singapura dan cara hidup kita," tambah Dr Janil.

Kesemua graduan selesai menamatkan Kursus Kadet Spesialis selama 22 minggu itu, di mana mereka menjalani latihan dalam keadaan realistik untuk membangunkan kemahiran pasukan penggempur dan kepimpinan serta memperdalam kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita