Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

386,000 sudah diberi suntikan vaksin bivalen COVID-19 sejak Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Dec 2022 02:16PM Dikemas Kini : 13 Dec 2022 04:24PM

SINGAPURA: Sejak pelancarannya pada pertengahan Oktober, Kementerian Kesihatan (MOH) sudah memberi 386,000 dos vaksin bivalen COVID-19 kepada penduduk Singapura.

Pemerintah berharap untuk menggalakkan lebih ramai orang agar mendapatkan suntikan mereka - terutama sekali warga emas - dengan mengerahkan pasukan vaksinasi bergerak ke beberapa lokasi mulai Isnin (12 Dis), kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung. 

Vaksin bivalen Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 ditawarkan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas mulai Isnin. Vaksin bivalen COVID-19 yang turut ditawarkan di Singapura adalah keluaran Moderna, untuk mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas. 

Kedua-dua vaksin tersebut akan disediakan di semua lokasi pasukan vaksinasi bergerak. 

LOKASI PASUKAN BERGERAK

Berucap di Kelab Masyarakat (CC) Hong Kah North - salah satu lokasi di mana pasukan vaksinasi bergerak dikerahkan oleh MOH - Encik Ong berkata, dalam kalangan penduduk secara keseluruhan, sekitar lima daripada setiap 10,000 pesakit dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) atau meninggal dunia. 

Sebagai perbandingan, terdapat kira-kira 70 kematian atau kes di ICU bagi setiap 10,000 pesakit bagi golongan yang tidak mempunyai perlindungan minimum. 

"Ia jauh lebih tinggi. Lantaran itu, tumpuannya masih tentang melindungi warga emas, memastikan mereka mendapatkan vaksinasi terkini," kata Encik Ong kepada wartawan. 

Sekitar 90 peratus warga emas berusia 60 tahun dan ke atas sudah mencapai perlindungan minimum terhadap COVID-19, menurut MOH awal bulan ini, sambil menambah bahawa 60 peratus telah mendapatkan vaksinasi terkini. 

Hampir 40,000 warga emas yang layak masih belum mendapatkan perlindungan minimum. 

Lebih 10,000 suntikan dos bivalen diberi setiap hari. 

Pasukan vaksinasi bergerak akan dikerahkan di lokasi-lokasi berikut pada tarikh yang tertera: 

1. RC Bukit Panjang Zon 3 - 12 hingga 14 Dis
2. CC Choa Chu Kang - 10 hingga 12 Dis
3. CC Hong Kah North - 12 hingga 14 Dis
4. CC Kampong Chai Chee - 9 hingga 11 Jan
5. CC Leng Kee - 12 hingga 14 Dis
6. RC Potong Pasir Zon 3 - 16 hingga 18 Dis
7. CC Teck Ghee - 13 hingga 15 Dis
8. CC Toa Payoh Central - 10 hingga 12 Jan

Orang ramai juga boleh melayari gowhere.gov.sg untuk jadual pengerahan pasukan vaksinasi bergerak. 

SINGAPURA “TENANG DAN STABIL”

Setelah melalui tiga gelombang COVID-19 tahun ini, "daya tahan Singapura adalah tinggi", kata Encik Ong.

Bagaimanapun tambah beliau  pembukaan semula China bermakna terdapat "sedikit ketidakpastian".

“Ini pasti akan meningkatkan jangkitan. Namun,  kami tidak begitu bimbang (mengenainya), kerana daya tahan kita tinggi dan kita telah melalui tiga gelombang tahun ini. Tetapi persoalannya, ialah dengan 1.3 bilion orang kebanyakannya tidak dijangkiti dan penyakit itu mula merebak, pasti akan ada mutasi,” kata Encik Ong.

“Apa yang lebih kami bimbangkan ialah jenis mutasi yang mungkin keluar dari China. Jadi, kami harus awasinya."

Namun begitu, keadaan Singapura pada masa ini adalah "tenang dan stabil", kata Encik Ong lagi.

“Jumlah berada pada paras rendah. Jelas sekali, kini ada gelombang varian XBB, hospital masih sibuk, khususnya A&E (jabatan kemalangan dan kecemasan), tetapi jumlah pesakit juga lebih rendah sekarang. Jadi kita boleh bernafas lega. Semuanya secara umum tenang."

Justeru, dalam tempoh "tenang"  inilah warga emas harus mendapatkan vaksinasi terkini mereka, ujar Encik Ong.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan