Skip to main content

Singapura

380,000 pengguna S'pura terjejas pencurian data Uber pada 2016

Penyedia khidmat sewa kereta Uber hari ini (15 Dis) menyatakan 380,000 pengguna warga Singapura terjejas oleh insiden pencurian data besar-besaran yang berlaku pada tahun 2016.

Anggaran Waktu Membaca:
380,000 pengguna S'pura terjejas pencurian data Uber pada 2016

Aplikasi Uber dilihat di telefon bimbit di Britain. (Gambar: REUTERS/Hannah McKay)

Diterbitkan : 15 Dec 2017 07:44PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 07:48PM

SINGAPURA: Penyedia khidmat sewa kereta Uber hari ini (15 Dis) menyatakan 380,000 pengguna warga Singapura terjejas oleh insiden pencurian data besar-besaran yang berlaku pada tahun 2016.

Dalam satu kenyataan di lamannya, Uber menyatakan jumlah itu adalah "anggaran dan bukan tepat kerana kadangkala maklumat yang kami terima menerusi aplikasi atau laman yang kami gunakan untuk menetapkan kod negara tidak sama dengan negara di mana seseorang individu tinggal".

"Apabila insiden itu berlaku, kami mengambil langkah segera untuk melindungi data, menghalang akses tidak sah yang lain dan memperkukuh keselamatan data kami," menurut syarikat itu.

Ia menambah pihaknya berasa mana-mana individu yang menaiki (Uber) tidak perlu mengambil sebarang tindakan.

"Kami tidak menemui bukti pernyataan palsu mahupun penyalahgunaan yang berkaitan dengan insiden itu. Kami sedang memantau akaun-akaun yang terjejas dan sudah memaklumkan kepada mereka sebagai langkah perlindungan tambahan."

Uber secara perlahan-lahan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai insiden tersebut, dari satu negara ke satu negara.

Pada Selasa (12 Dis), ia mendedahkan 815,000 rakyat Kanada terjejas, beberapa hari setelah pesuruhjaya negara itu berkata pihaknya akan memulakan siasatan rasmi berhubung insiden tersebut, menurut laporan media Kanada.

Insiden pencabulan data itu pertama kali didedahkan oleh CEO Dara Khosrowshahi dalam satu kenyataan pada bulan lalu, menyatakan bahawa para penggodam mencuri 57 juta nama, alamat emel, nombor telefon bimbit dan maklumat lesen pemandu milik pengguna dan pemandu Uber.

Bagi merahsiakan insiden itu, para penggodam dibayar AS$100,000 (S$134,620) untuk memusnahkan data tersebut.

Seorang jurucakap syarikat itu menyatakan Uber sedang dalam proses memaklumkan kepada beberapa pengawal selia dan penguasa pemerintah dan ia dijangka mengadakan rundingan berterusan.

Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Singapura menyatakan ia menyedari tentang insiden tersebut dan sedang berhubungan dengan Uber bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita