Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

38 warga emas terima potongan rambut percuma sempena Tahun Baharu Cina

Seramai 38 warga tua di kawasan Geylang menerima potongan rambut percuma sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang.

Anggaran Waktu Membaca:
38 warga emas terima potongan rambut percuma sempena Tahun Baharu Cina

(Gambar: Rumah Peralihan PERTAPIS)

BERITAmediacorp: Seramai 38 warga tua di kawasan Geylang menerima potongan rambut percuma sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang.

Seawal jam 10.00 pagi tadi (19 Jan), seramai enam penghuni Rumah Peralihan Pertapis secara sukarela meluangkan masa bagi acara amal itu.

PROJECT GUNTING BANTU PROSES PEMULIHAN

Dipanggil 'Project Gunting', acara amal itu memberi peluang para penghuni Rumah Peralihan Pertapis peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Ia adalah salah satu cara bagi para penghuni menyumbang kembali kepada masyarakat. Ia adalah peluang untuk mereka berinteraksi, sekali gus mereka dapat rasa diterima oleh masyarakat.

"Kebanyakan mereka adalah pesalah berulang. Oleh itu, mereka kadang-kala berpendapat bahawa masyarakat sudah tidak lagi menerima mereka. Justeru, mereka berfikiran bahawa mereka tidak perlu berubah menjadi baik," kata jurucakap Rumah Peralihan Pertapis, Encik Muhammad Kashari Kassim kepada BERITAmediacorp.

Menurut Encik Muhammad, kesemua penghuni Rumah Peralihan Pertapis yang terlibat dalam acara hari ini telah mengikuti kursus mendandan rambut dengan Kimage Hairdressing

Kos kursus selama lima hari itu berharga S$500. 

Para penghuni tersebut hanya perlu membayar S$50, dan bakinya dibayar menerusi Skillsfuture masing-masing. 

"Kami merancang menjalankan Project Gunting ini sekali sebulan. InsyaAllah, kami juga berharap untuk mendekati segmen masyarakat yang berbeza seperti para pekerja hijrahan," kongsi Encik Muhammad.

Kesemua warga emas yang menerima potongan rambut hari ini meluahkan rasa gembira dan berpuas hati dengan penampilan 'baru' mereka. 

BANGGA PENGALAMAN MANIS BAGI PENGHUNI RUMAH PERALIHAN PERTAPIS

Bagi Zack (bukan nama sebenar), projek itu memberinya  semangat untuk membina kehidupan yang lebih baik.

"Saya berasa bangga sebab dapat menyumbang kepada masyarakat. Semasa saya menjalani kursus memotong rambut, saya hanya menggunakan anak patung ‘mannequin’. Tetapi sekarang, saya diberi peluang untuk memotong rambut warga emas. Oleh itu, saya berasa bangga dan terharu.

"Selepas pelanggan selesai potong rambut, senyuman mereka membuat saya gembira. Walaupun tidak banyak, sedikit pun saya puas dapat menyumbang kepada masyarakat," luah Zack.

Ini pula bukan pertama kali Deen (bukan nama sebenar) memotong rambut. 

Ini kerana beliau sebelum ini pernah bekerja di kedai 'Sri Dewa'.

"Saya berasa gembira berpeluang terlibat dalam kerja amal seperti ini. Saya rasa macam saya dahulu jarang berbuat baik, jadi bila dapat kesempatan begini, walaupun ini pada pandangan orang mungkin tidak sebaik mana, tapi bagi saya Alhamdullillah saya dapat berjasa dengan orang tua," kata Deen.

Deen juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa jika ada peluang, beliau ingin melakukan lebih banyak lagi amal jariah sekiranya ada peluang.

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan