Skip to main content

Singapura

38 Oxley Road: Garis masa ke arah pemeliharaan sebagai monumen negara

Anggaran Waktu Membaca:
38 Oxley Road: Garis masa ke arah pemeliharaan sebagai monumen negara
38 Oxley Road. (Gambar: CNA/Howard Law)
Diterbitkan : 03 Nov 2025 05:27PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 05:28PM
SINGAPURA: Tapak 38 Oxley Road, di mana terletaknya rumah keluarga perdana menteri pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, dinilai layak untuk dipelihara sebagai monumen negara kerana kepentingan sejarah dan kepentingan negara.

Dibina pada lewat abad ke-19, rumah itu berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Singapura.

Bapa-bapa pengasas seperti Dr Goh Keng Swee dan Dr Toh Chin Chye mengadakan mesyuarat di ruang makan bawah tanah dalam bangunan itu pada tahun-tahun 1950an, yang membawa kepada pembentukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kini mentadbir.

Encik Lee tinggal di rumah itu dari tahun 1940an hingga hari kematiannya.

Tiga orang anaknya - Menteri Kanan Lee Hsien Loong, Lee Hsien Yang dan mendiang Dr Lee Wei Ling - juga membesar di rumah itu.

APA YANG LEE KUAN YEW INGINKAN BAGI RUMAH ITU?

Encik Lee Kuan Yew beberapa kali secara terbuka meluahkan hasratnya agar rumah itu dirobohkan selepas kematiannya.

Dalam surat yang diberikan kepada Kabinet pada Oktober 2010, beliau berkata rumah itu "tidak harus disimpan sebagai sejenis artifak untuk dikunjungi orang ramai" dan "ia tidak mempunyai sebarang nilai dari segi seni bina".

Dalam bukunya 'Hard Truths To Keep Singapore Going' yang diterbitkan pada 2011, beliau berkata: "Disebabkan oleh rumah saya, rumah-rumah jiran tidak boleh dibina tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan ubah peraturan perancangan, naikkan, nilai tanah akan meningkat."

Beliau mengulangi pendiriannya dalam surat yang diserahkan kepada Kabinet pada Julai 2011, namun berdepan tentangan daripada para menteri.

Pada Disember 2011, Encik Lee menulis bahawa beliau memikirkan semula perkara itu selepas Kabinet sebulat suara menentang perobohan itu, dan memutuskan bahawa jika rumah itu dipelihara, asasnya perlu diperkukuh dan diperbaharui serta disewakan untuk orang tinggal, kerana bangunan yang dibiarkan kosong "tidak lama lagi akan menjadi rosak dan reput".

Namun dalam wasiat terakhirnya yang dilaksanakan pada 2013, Encik Lee kembali mengatakan beliau mahu rumah itu dirobohkan, atau jika ia tidak dapat dilaksanakan, rumah itu harus ditutup kepada semua orang kecuali keluarga dan keturunannya.

BAGAIMANA IA MENJADI ISU AWAM

Pada 14 Jun 2017, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee menulis catatan di media sosial bagi menuduh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada ketika itu tidak memenuhi hasrat bapa mereka semata-mata untuk kepentingan politik.

Mereka berkata mendiang mahu rumah di 38 Oxley Road itu dirobohkan, dan mereka berasa terancam dalam cuba memenuhi hasratnya.

Mereka juga menuduh Encik Lee Hsien Loong menyalahgunakan pengaruhnya dalam pemerintah untuk mengetengahkan agenda peribadinya.

Sehari kemudian, Encik Lee Hsien Loong memuat naik kenyataan sebanyak lima halaman di Facebook yang menyatakan beliau mempunyai "soalan-soalan serius" berhubung cara wasiat terakhir bapanya disediakan.

Beliau berkata apabila wasiat itu dibacakan pada 12 April 2015, Encik Lee Hsien Yang berkali-kali mendesak supaya rumah itu segera dirobohkan dan perbincangan itu hanya berakhir setelah Dr Lee berkata beliau ingin terus tinggal di rumah itu.

Selepas kematian Encik Lee Kuan Yew, harta pusakanya dibahagikan sama rata antara tiga adik beradik itu, dengan wasiat terakhirnya mengandungi klausa yang membenarkan Dr Lee tinggal di rumah itu selama tempoh beliau inginkan.

Bagi menyelesaikan pertikaian itu, Encik Lee Hsien Loong mencadangkan untuk menyerahkan bahagiannya kepada Dr Lee pada jumlah nominal sebanyak S$1, dengan syarat sebarang hasil pada masa hadapan akan disumbang kepada badan amal.

Namun, penyelesaian itu terbukti mustahil.

Selepas Pilihan Raya Umum 2015 (GE2015) pada September, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang bersetuju dengan cadangan baharu oleh Encik Lee Hsien Loong untuk memindahkan bahagiannya kepada Encik Lee Hsien Yang pada nilai pasaran, dengan kedua-dua adik beradik itu mendermakan separuh daripada jumlah tersebut kepada badan amal.

Ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi di masa hadapan berhubung pampasan atau hasil pembangunan semula.

Encik Lee Hsien Loong berkata pada ketika itu: "Ini konsisten dengan pendirian yang saya selalu pegang dan sampaikan kepada keluarga saya: bahawa ia tidak wajar bagi keluarga saya untuk mengekalkan sebarang hasil daripada sebarang urusan dengan 38 Oxley Road, kerana ia akan kelihatan seperti keluarga ini menentang pemerolehan dan pemeliharaan rumah itu atas sebab-sebab kewangan."

Beliau menambah bahawa Encik Lee Hsien Yang "tidak gembira dan masih tidak bersetuju dengan pendirian saya. Begitu juga, nampaknya, Lee Wei Ling".

Lima hari selepas adik beradiknya membuat tuduhan secara terbuka, Encik Lee Hsien Loong memohon maaf kepada rakyat Singapura atas kesannya terhadap reputasi negara dan keyakinan awam terhadap pemerintah.

Dalam satu kenyataan pada 19 Jun 2017, beliau menambah "sebagai abang sulung dalam keluarga ini, saya berasa sedih apabila memikirkan tentang keperitan yang mungkin dialami oleh ibu bapa kami jika mereka masih hidup".
RESPONS PEMERINTAH

Pertikaian itu menjadi tajuk utama berita antarabangsa, mendorong Encik Lee Hsien Loong untuk menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 3 Julai 2017.

Sambil menggesa para Anggota Parlimen supaya "mengkaji isu-isu secara mendalam dan menyoal beliau dan rakan-rakan Kabinet beliau secara menyeluruh, Encik Lee Hsien Loong berkata beliau berharap ia dapat menghilangkan keraguan dan mengukuhkan keyakinan terhadap institusi negara.

Sebuah jawatankuasa kementerian berhubung 38 Oxley Road ditubuhkan, dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean pada ketika itu.

Ia juga dianggotai oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong (kini Perdana Menteri Singapura).

Pada 2 April 2018, jawatankuasa itu menerbitkan laporan akhir yang mengandungi tiga cadangan - supaya rumah itu dikekalkan secara keseluruhan; mengekalkan hanya ruang makan bawah tanah yang bersejarah; atau membenarkan ia dirobohkan.

"Dalam mencapai pandangan kami mengenai hasrat mendiang Encik Lee Kuan Yew, kami terutama sekali bergantung pada bukti objektif yang dikemukakan dan langkah-langkah kukuh utama yang diambil oleh Encik Lee Kuan Yew sendiri semasa hayatnya supaya hasratnya dilaksanakan," kata Encik Teo, sambil menukil klausa perobohan dalam wasiat terakhirnya, surat dari mendiang Encik Lee Yuan Kew yang diberikan kepada Kabinet pada Disember 2011 dan rancangan ubah elok yang diserahkan kepada URA pada Mac 2012.

Laporan itu tidak membuat sebarang cadangan dan menyatakan "tiada keperluan untuk membuat sebarang keputusan berhubung hartanah itu" pada ketika itu, kerana Dr Lee masih tinggal di rumah itu.

APA PERANAN YANG DIMAINKAN OLEH PERTIKAIAN WASIAT?

Dalam kenyataan menteri pada 2017, Encik Lee Hsien Loong berkata klausa perobohan itu dikeluarkan daripada versi kelima dan keenam wasiat tersebut, dan hanya dimasukkan semula dalam wasiat ketujuh dan terakhir.

Enam wasiat pertama disediakan oleh peguam Encik Lee Kuan Yew, Puan Kwa Kim Li antara Ogos 2011 dengan November 2012.

Beliau tidak terlibat dalam penyediaan wasiat ketujuh dan terakhir, yang dilaksanakan pada 17 Disember 2013, dengan pelibatan Encik Lee Hsien yang dan isterinya, Lee Suet Fern, seorang peguam.

Cik Lee didapati bersalah oleh Tribunal Disiplin pada 18 Februari 2020 atas tingkah laku profesional yang sangat tidak wajar dalam mengendalikan wasiat terakhir bapa mertuanya.

Pada 20 November 2020, sebuah mahkamah melarangnya menjalankan khidmat guaman selama 15 bulan.

Kedua-dua badan mendapati Cik Lee dan suaminya mengelirukan mendiang Encik Lee Kuan Yew dalam konteks pelaksanaan wasiat terakhirnya, dan bahawa mereka telah berbohong meskipun mengangkat sumpah semasa prosiding.

Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern meninggalkan Singapura pada 2022 selepas memutuskan untuk tidak menghadiri sesi soal siasat polis berkaitan perkara itu. Pada awal bulan Oktober, Encik Lee Hsien Yang memuat naik catatan ke Facebook yang mengatakan bahawa beliau tidak akan pulang ke Singapura untuk upacara persemadian kakaknya.

Cik Kwa juga diperintahkan membayar S$13,000 sebagai denda atas salah laku berkaitan wasiat mendiang Encik Lee pada 2023.

Beliau juga membayar S$5,000 kerana gagal "menjaga dengan teliti" kerahsiaan mendiang Encik Lee Kuan Yew semasa mengendalikan wasiatnya, dan S$8,000 kerana mengelirukan Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee dalam respons emelnya kepada pertanyaan mereka.

APA YANG BERLAKU SEJAK ITU?

Pada 15 Oktober 2024, seminggu selepas kematian Dr Lee, Encik Lee Hsien Yang mengumumkan hasratnya untuk merobohkan hartanah tersebut.

Dalam catatan di Facebook, beliau mengesahkan bahawa beliau adalah "pemilik sah tunggal 38 Oxley Road".

"Lee Hsien Loong berkata di Parlimen pada 2015 bahawa apabila Wei Ling meninggal dunia, ia terserah kepada 'pemerintah pada masa itu' untuk memutuskan sama ada membenarkan perobohan dilaksanakan," beliau menulis dalam catatan beliau. "Sudah sembilan tahun. Hari yang dimaksudkan itu ialah hari ini."

Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan ia akan "mempertimbangkan secara teliti isu-isu berkaitan dengan hartanah tersebut apabila tiba masanya, mengambil kira hasrat Encik Lee Kuan yew dan kepentingan awam".

Encik Lee Hsien Yang memohon kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 21 Oktober untuk menjalankan kerja-kerja perobohan.

Pada 24 Oktober, Lembaga Warisan Negara (NHB) menyatakan ia akan mengkaji sama ada tapak itu layak dipelihara sebagai monumen negara.

Kajian itu akan dijalankan oleh Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen Lembaga Warisan Negara (NHB).

Jika perintah pemeliharaan dibuat, pemerintah "akan mempunyai masa yang diperlukan" untuk menimbangkan ilihan-pilihan yang dikenal pasti dalam laporan Jawatankuasa Menteri 2018, menurut NHB, sambil menambah bahawa perobohan segera "akan menghalang pertimbangan wajar dan sepenuhnya terhadap pilihan-pilihan tersenarai".

Walaupun jika tapak itu dipelihara sebagai monumen negara, semua pilihan masih terbuka kepada pemerintah semasa dan masa depan, kerana perintah pemeliharaan boleh dipinda atau dibatalkan, menurut NHB.

Pada 25 Oktober lalu, Encik Lee Hsien Yang menyeru Perdana Menteri Lawrence Wong supaya segera membuat keputusan.

Sebagai respons, pemerintah berkata Encik Lee Hsien Yang sedang menimbulkan "situasi mendesak yang palsu".

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menyatakan mendiang Encik Lee Kuan Yew sudahpun menerima hakikat bahawa rumahnya mungkin akan dikekalkan, bahkan menulis kepada Kabinet pada 2011 untuk mengakui pandangan mereka bahawa hartanah tersebut tidak harus dirobohkan, kemudian menyerahkan pelan pengubahsuaian kepada URA pada Mac 2012.

"Encik Lee Kuan Yew, dalam menyerahkan pelan tersebut, bertindak atas dasar bahawa hartanah itu akan dikekalkan," menurut kementerian itu.

Ia menambah bahawa Encik Lee Hsien Yang berulang kali menukil wasiat terakhir bapanya tetapi memilih untuk tidak menyebut bahawa beliau dan isterinya sudah mengelirukan Encik Lee Kuan Yew tentang pelaksanaan wasiat dan didapati berbohong setelah mengangkat sumpah.

"Afidavit tersebut direka untuk memberikan gambaran palsu. Beberapa pembohongan itu cukup jelas," tambah kementerian itu.

"Tuduhan berterusan Encik Lee Hsien Yang harus diperhatikan dalam konteks ini."

Isu tersebut muncul semula pada 11 November apabila Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai dan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Louis Chua mengemukakan soalan parlimen.

Encik Leong menyoal mengapa kajian lain perlu dilaksanakan sedangkan Jawatankuasa Menteri sudahpun menentukan kepentingan hartanah tersebut, manakala Encik Chua bertanya tentang terma rujukan bagi kajian baharu itu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia pada ketika itu, Encik Edwin Tong berkata dalam jawapan bertulis bahawa penemuan kajian sebelum ini dimasukkan ke dalam laporan jawatankuasa pada tahun 2018, namun ia tidak dibentangkan kepada Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen.

"Memandangkan permohonan pemilik baru-baru ini untuk merobohkan bangunan tersebut, yang akan segera menolak pilihan yang wajar dan penuh pertimbangan, NHB memulakan proses untuk menentukan kelayakan dan kesesuaian 38 Oxley Road untuk pemeliharaan sebagai monumen negara," kata Encik Tong.

"Ini mengikuti proses penilaian biasa sebelum sebuah bangunan, tapak atau struktur boleh dipelihara sebagai monumen negara, dan kami akan menggunakannya sewajarnya untuk 38 Oxley Road."

Pada Isnin (3 Nov), Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen mengumumkan bahawa tapak tersebut kini dinilai sebagai "mempunyai kepentingan sejarah dan kepentingan negara, dan layak dipelihara sebagai monumen negara".

Berdasarkan penilaian itu, NHB menyarankan agar tapak tersebut dipelihara.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo menerima cadangan NHB dan bercadang untuk mengisytiharkan tapak tersebut sebagai monumen negara.

Jika perintah pemeliharaan dibuat, pemerintah bercadang untuk memperoleh tapak tersebut untuk melindungi dan memeliharanya, menurut kenyataan media bersama NHB dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).

"Jika tapak itu dipelihara dan diperoleh, pemerintah akan menukarkannya menjadi ruang awam, dengan satu kemungkinan ia bakal menjadi taman warisan. Ini bermakna tapak tersebut tidak boleh dibangunkan semula untuk kegunaan kediaman, komersial atau swasta yang lain," tambahnya.

Pemilik tapak tersebut, sebuah entiti bernama 38 Oxley Road Pte Ltd yang dimiliki sepenuhnya oleh Lee Hsien Yang dengan anaknya Li Huanwu disenaraikan sebagai pengarah tunggal, mempunyai masa sehingga 17 November untuk mengemukakan rayuan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita