Skip to main content

Singapura

38 Oxley Road bakal diwartakan sebagai monumen negara; mungkin dijadikan taman warisan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Nov 2025 02:43PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 09:45PM
SINGAPURA: Pemerintah merancang untuk mewartakan tapak 38 Oxley Road – rumah keluarga perdana menteri pengasas Singapura, Lee Kuan Yew – sebagai monumen negara dan ia akan mengimbangi keperluan untuk memelihara lokasi bersejarah yang penting itu sambil menghormati hasrat mendiang Encik Lee untuk privasi.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo berkata pada Isnin (3 Nov) bahawa beliau akan mewartakan tapak tersebut selepas menimbangkan cadangan daripada Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen, yang menilai tapak tersebut sebagai layak untuk dipelihara.

Jika tapak tersebut dipelihara dan diambil alih, ia akan ditukar menjadi ruang awam, dengan satu kemungkinan ia dijadikan sebagai taman warisan, menurut NHB dan Penguasa Tanah Singapura (SLA). Ini bermakna tapak tersebut tidak boleh dibangunkan semula untuk kegunaan kediaman, komersial atau kegunaan privet yang lain.

"Tanpa mengira pilihan yang diambil, pemerintah akan menghormati hasrat Encik Lee Kuan Yew, dan akan melupuskan semua kesan ruang kediaman peribadi Encik Lee dan keluarganya daripada bangunan-bangunan tersebut," menurut NHB dan SLA.

Pengumuman itu dibuat lebih setahun selepas anak lelaki Encik Lee, Lee Hsien Yang, memohon untuk merobohkan rumah tersebut pada 21 Oktober tahun lalu. Dalam responsnya ketika itu, pemerintah menyatakan bahawa ia akan menilai sama ada tapak tersebut layak dipelihara sebagai monumen negara.

NHB dan SLA menyatakan pada Isnin (3 Nov) bahawa memelihara tapak tersebut tidak semestinya bermaksud memelihara bangunan berkenaan dalam bentuk sedia ada.

“Pihak-pihak berkuasa yang relevan tidak berpeluang untuk menilai keadaan bangunan itu dan struktur di dalam tapak tersebut. Jika akses diperoleh, pihak berkuasa akan menjalankan kajian terperinci untuk menimbangkan cara-cara untuk meneruskannya,” kata agensi-agensi tersebut.

Keputusan muktamad mengenai masa depan tapak tersebut akan dibuat “dalam tempoh penggal pemerintah ini”, iaitu sehingga 2029. Semua pilihan akan dipertimbangkan, termasuk yang digariskan dalam laporan Jawatankuasa Menteri pada 2018, seperti perobohan sebahagian atau sepenuhnya bangunan dan struktur tapak tersebut.

Pemilik tapak tersebut – 38 Oxley Road Pte Ltd – telah diberi notis bertulis tentang hasrat untuk mengeluarkan perintah pemeliharaan dan mempunyai masa sehingga 17 November untuk mengemukakan sebarang bantahan kepada pihak berkuasa.

Semakan rekod Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) menunjukkan bahawa Encik Lee Hsien Yang adalah pemegang saham tunggal syarikat itu, manakala anak lelakinya Li Huanwu didaftarkan sebagai pengarah.

Menurut NHB dan SLA, Encik Neo akan menimbangkan setiap bantahan sebelum membuat keputusan muktamad untuk mengeluarkan perintah pemeliharaan. Tiada kes bantahan dikemukakan terhadap warta yang diusulkan itu.

PEMEROLEHAN DAN PAMPASAN

Sekiranya perintah pemeliharaan dikeluarkan dan pemerintah meneruskan pemerolehan tapak tersebut, jumlah pampasan akan ditentukan mengikut Akta Pengambilan Semula Tanah, dengan mengambil kira nilai pasaran pada tarikh ia diambil alih.

SLA akan melantik penilai profesional dari sektor swasta untuk menentukan nilai pasarannya.

Bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan, kakitangan awam dalam Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen perlu menarik diri dan mengecualikan daripada penilaian tapak 38 Oxley Road. Lembaga tersebut biasanya terdiri daripada para wakil daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Menteri Kanan Lee Hsien Loong juga menarik diri daripada semua keputusan pemerintah mengenai hartanah tersebut, memaklumkan Kabinet tentang keputusannya itu pada 15 April 2015.

KEPENTINGAN TAPAK INI

Keputusan untuk memelihara tapak 38 Oxley Road berlaku hampir sedekad selepas pemergian Encik Lee pada Mac 2015 dan menyusuli perdebatan selama bertahun-tahun mengenai masa depan hartanah tersebut.

Dibina pada akhir abad ke-19, tapak ini berkait rapat dengan peristiwa penting dalam sejarah Singapura.

Ruang makan bawah tanah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat yang membawa kepada pembentukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti pemerintah Singapura sejak 1959.

"Tapak ini menjadi saksi kepada perbincangan dan keputusan penting yang membentuk perjalanan sejarah Singapura untuk menjadi sebuah negara merdeka," kata Encik Neo pada Isnin (3 Nov).

"Niat untuk mewartakan tapak ini sebagai monumen negara mengiktiraf kepentingan sejarah dan kepentingan negara. Ini akan memelihara bahagian penting dalam perjalanan kemerdekaan kita untuk generasi akan datang."

NHB pertama kali mengumumkan pada Oktober 2024 bahawa ia akan menilai sama ada tapak ini layak dipelihara sebagai monumen negara. Kajian ini dijalankan oleh Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen, yang merangkumi pakar daripada pelbagai bidang.

Memelihara tapak 38 Oxley Road merupakan salah satu pilihan yang digariskan oleh Jawatankuasa Menteri dalam laporannya pada April 2018, yang bertujuan untuk membimbing keputusan pemerintah pada masa hadapan mengenai hartanah tersebut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita