Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

38 kes jangkitan Candida auris dilapor kepada MOH sejak 2019

Anggaran Waktu Membaca:
38 kes jangkitan Candida auris dilapor kepada MOH sejak 2019

(Gambar: Shawn Lockhart/CDC/AP)

SINGAPURA: Hampir 40 kes jangkitan Candida auris dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH) sepanjang empat tahun yang lalu.

Demikian menurut kementerian tersebut pada Rabu (29 Mei) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp menyusuli laporan yang menyatakan bahawa kulat - sejenis yis - sedang merebak di hospital-hospital Amerika Syarikat (AS).

MOH menyatakan, daripada 38 kes Candida auris yang dilaporkan antara Januari 2019 hingga Mac 2023, dua pesakit meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Tiada bukti yang menunjukkan penyakit itu sedang merebak di hospital-hospital setempat, tambah MOH, sambil menarik perhatian bahawa Candida auris menjangkiti individu yang sakit teruk atau mempunyai daya imun yang lemah.

Ini bermakna kes-kes lazimnya dikesan di persekitaran hospital - dan institusi-institusi jagaan kesihatan di Singapura mempunyai langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap sebarang jangkitan yang berkaitan dengan jagaan kesihatan, menurut MOH.

"Semua hospital awam juga mempunyai kemudahan-kemudahan untuk mengasingkan pesakit yang terjangkit jika perlu," tambahnya.

Antara 2012 hingga 2019, sebanyak 16 kes Candida auris dilaporkan di hospital-hospital privet dan awam, menurut Menteri Kesihatan ketika itu, Encik Gan Kim Yong pada Mei 2019 di Parlimen.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada 20 Mac menyatakan, kulat yang mudah berjangkit itu merebak dengan pantas di kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan AS, dengan kes meningkat dua kali ganda antara 2019 hingga 2021.

Jumlah kes meningkat dari 330 pada 2018 kepada 476 pada 2019, 756 pada 2020 dan kemudian 1,471 pada 2021.

Pada 2021, jumlah kes yang tidak menunjukkan tindak balas kepada ubat-ubatan yang paling disyorkan untuk merawat penyakit itu, meningkat dua kali ganda, menurut CDC.

Sesetengah jujukan Candida auris adalah kuman yang tidak menunjukkan tindak balas terhadap ketiga-tiga kelas antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat, menurut laporan media.

Negara-negara lain turut menyaksikan kulat itu semakin merebak, menurut CDC.

Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menyatakan, ia sedia maklum tentang penularan Candida auris di AS dan menyifatkatnnya sebagai satu "patogen fungus yang tidak menunjukkan tindak balas terhadap ubat" yang perlu dipantau.

Semua hospital di Singapura memeriksa pesakit untuk Candida auris jika mereka dirawat di hospital luar negara pada tahun lalu, kata Pengarah Klinikal NCID Shawn Vasoo.

Dr Vasoo menekankan, fungus itu lazimnya tidak menyebabkan jangkitan dalam golongan yang sihat, tetapi boleh menjangkiti pesakit yang dirawat di hospital buat tempoh yang panjang dan mengalami faktor risiko lain.

Mereka yang dirawat menggunakan peralatan perubatan invasif atau menjalani tempoh antibiotik yang lama, berisiko tinggi dijangkiti Candida auris.

"Ia boleh merebak di kulit manusia tanpa menyebabkan jangkitan," kata Dr Vasoo.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan