Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

38 disiasat atas pelbagai kesalahan susuli serbuan di kawasan Geylang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 38 orang - terdiri daripada 26 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 80 tahun - sedang disiasat atas pelbagai kesalahan menyusuli operasi penguatkuasaan bersama yang dilancarkan di kawasan Geylang. 

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya pada Jumaat (8 Jul). 

Sasaran serbuan berbilang agensi antara 27 Jun hingga 2 Jul itu adalah bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang seperti perjudian haram, kegiatan maksiat, penjualan dan pemilikan rokok yang tidak dibayar cukai, penjualan ubat-ubatan bagi merangsang nafsu syahwat serta perniagaan penjaja haram. 

Operasi penguatkuasaan itu diterajui oleh Divisyen Polis Bedok dan disokong oleh para pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Biro Narkotik Pusat (CNB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kastam Singapura, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Makanan Singapura (SFA). 

Dalam operasi bersama melibatkan ICA dan MOM ke atas perjudian haram, polis menyerbu sebuah unit komersil di Geylang Road. 

Lapan lelaki dan tujuh wanita, berusia antara 22 hingga 80 tahun, diberkas kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berjudi di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka. 

Wang tunai melebihi S$12,000 dan alat pertaruhan turut disita. 

Satu lagi operasi bersama di sebilangan kawasan di Geylang melibatkan HSA, ICA dan CNB turut menyaksikan perampasan produk kesihatan tidak berdaftar. Produk-produk yang dirampas termasuk ubat batuk dan produk bagi membangkitkan nafsu syahwat yang dianggarkan bernilai sekitar S$9,000. 

Tiga lelaki sedang disiasat di bawah Akta Produk Kesihatan. 

Dua lelaki dan seorang wanita juga sedang disiasat di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan). Alat pengewap elektronik (vape) dan perkakas berkaitan yang dianggarkan bernilai S$700 dirampas. 

Serbuan susulan yang dilancarkan oleh HSA berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi melalui operasi lalu, membawa kepada penyitaan lebih banyak alat pengewap elektronik dan perkakas berkaitan, yang dianggarkan nilai S$50,000. 

Dua rumah urut di Sims Avenue dan Geylang Road akan disiasat kerana dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah di bawah Akta Perniagaan Mengurut. Empat wanita berusia antara 36 hingga 52 tahun turut diberkas. 

Peruncit aktif bagi alat mobiliti aktif juga menjadi sasaran operasi penguatkuasaan LTA. 

Tiga alat mobiliti peribadi dan 14 basikal elektrik yang dipercayai sudah diubah suai secara haram turut dirampas. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan