377A: Kumpulan agama sokong Pemerintah; Pink Dot berkata komen Shanmugam 'langkah ke arah yang betul'
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan pada Jumaat (4 Mac) melahirkan sokongannya terhadap pendekatan Pemerintah untuk terus berbincang berkaitan isu Seksyen 377A dan MUIS akan terus memberikan maklum balas kepada Pemerintah bersandarkan norma dan nilai-nilai agama.
Respons MUIS itu sebagai mengulas kenyataan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, K Shanmugam di Parlimen bahawa Pemerintah sedang menimbangkan "huraian terbaik" bagi Seksyen 377A.
Pertubuhan-pertubuhan agama yang dihubungi Mediacorp turut menyatakan sokongan terhadap pendekatan Pemerintah berhubung Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menganggap hubungan seks antara lelaki sebagai jenayah.
Encik Shanmugam, berkata di Parlimen kelmarin bahawa Pemerintah sedang mempertimbangkan "cara terbaik" untuk melangkah ke hadapan berhubung Seksyen Seksyen 377A.
Dengan itu, Pemerintah akan menghormati pandangan yang berbeza dan mempertimbangkannya dengan teliti, katanya.
Kumpulan yang menyokong masyarakat LGBTQ+, Pink Dot SG berkata semalam, ia berharap akan diwakili dalam dialog tersebut.
"Pengakuan terbuka Encik Shanmugam di Parlimen tentang rasa kecewa dan pengalaman masyarakat LGBTQ+ ditolak dan disakiti adalah satu langkah ke arah yang betul," kata jurucakap Pink Dot SG Clement Tan.
Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah rendah untuk menolak tiga cabaran terhadap Seksyen 377A.
Dalam penghakiman setebal 152 muka surat, mahkamah menegaskan bahawa rayuan itu "bukan mengenai sama ada Seksyen 377A perlu dikekalkan atau dimansuhkan", kerana ini adalah "perkara di luar bidang kuasa kami".
Bercakap di Parlimen pada Khamis, Encik Shanmugam berkata dasar perlu mengikuti perubahan pandangan. Dan perundangan perlu berubah untuk menyokong dasar yang dikemas kini," tambahnya.
SOKONG PENDEKATAN PEMERINTAH YANG "SEIMBANG"
Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) menarik perhatian pendirian Pemerintah bahawa Seksyen 377A dikekalkan tetapi tidak dikuat kuasakan secara proaktif. Menurutnya, ini "berjaya mencapai keseimbangan antara kepentingan yang berbeza (dan sebenarnya bertentangan) pelbagai kumpulan".
"Kompromi unik" yang dicapai Singapura setakat ini telah berjaya menghindari perpecahan dalam masyarakat kita, dan memupuk Singapura menjadi 'masyarakat inklusif, di mana sikap saling menghormati dan bertolak ansur terhadap pandangan dan amalan yang berbeza adalah sangat penting'," kata NCCS dalam satu kenyataan, memetik ucapan Encik Shanmugam di Parlimen.
Ia menyatakan perkara yang berkaitan dengan seksualiti adalah "isu sosial" yang "jika tidak ditangani dengan betul boleh menimbulkan perbalahan dan memecahbelahkan masyarakat".
"Dalam hal ini, kami mengesahkan pendekatan Pemerintah untuk menegakkan, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2007, 'masyarakat yang stabil dengan nilai kekeluargaan heteroseksual, tetapi dengan ruang bagi golongan homoseksual menjalani kehidupan mereka dan menyumbang kepada masyarakat', "kata NCCS.
Jurucakap Lembaga Penasihat Sikh juga memberitahu Mediacorp bahawa pertubuhan itu bersetuju dengan "pendekatan seimbang" yang diambil mahkamah terhadap rayuan Seksyen 377A.
"Kami percaya keputusan itu mempertimbangkan dan mengambil kira kepentingan semua segmen dalam masyarakat dan memelihara keharmonian dan perpaduan sosial. Kami menggalakkan semua pihak yang berminat untuk meneruskan dialog yang membina dalam masyarakat mengenai perkara ini," kata jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.