Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

37 orang disiasat susuli operasi polis di Geylang

Seramai 37 individu - 30 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 21 dengan 66 tahun - sedang disiasat berikutan satu operasi penguatkuasaan di Geylang.

Anggaran Waktu Membaca:
37 orang disiasat susuli operasi polis di Geylang

(Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 06:08PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 06:16PM

SINGAPURA: Seramai 37 individu - 30 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 21 dengan 66 tahun - sedang disiasat berikutan satu operasi penguatkuasaan di Geylang.

Operasi penguatkuasaan berbilang agensi yang dijalankan antara 15 dengan 20 Oktober dipimpin Divisyen Polis Bedok dan disokong para pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Biro Narkotik Pusat (CNB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kastam Singapura serta Agensi Makanan Singapura (SFA).

"Operasi ini sebahagian daripada usaha berbilang agensi untuk mengawal kegiatan jenayah di Geylang. Ia usaha berterusan untuk memastikan Geylang kekal selamat dan terkawal," kata Timbalan Superintenden Polis dan Pegawai Pemerintah Pusat Polis Kejiranan Geylang, Lee Ting Wei.

Sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan terhadap kegiatan perjudian haram, tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 34 dengan 66 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perjudian Kawalan Jauh. Lebih S$2,000 turut dirampas selain pelbagai perkakas judi yang lain.

Sewaktu operasi berkenaan, tiga lelaki berusia antara 32 dengan 43 tahun juga disiasat bagi kesalahan di bawah Akta Produk Kesihatan. Ubat batuk, pelbagai jenama ubat perangsang seks dan ubat-ubatan haram lain bernilai sekitar S$16,000 juga dirampas.

Dalam satu operasi ke atas kegiatan kumpulan kongsi gelap dan kedai urut tidak berlesen, empat lelaki berusia antara 21 dengan 45 tahun ditangkap kerana menganggotai kumpulan samseng.

Lima wanita, berusia antara 26 dengan 45 tahun, turut diberkas bagi kesalahan di bawah Piagam Wanita. Seorang wanita 39 tahun pula ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Penggajian Tenaga Kerja Asing.

(Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Gambar yang dipetik sewaktu operasi ke atas kedai urut tidak berlesen. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Dua lelaki berusia 34 dan 40 tahun ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Kastam. Dua belas lelaki lain berusia antara 28 dengan 59 tahun didenda atas kesalahan di bawah Akta Kastam.

Lebih empat karton rokok tidak dibayar cukai juga dirampas.

Lagi dua lelaki berusia 52 dan 63 tahun didakwa terlibat dalam kegiatan menjaja secara haram.

Mereka dikenakan denda di bawah Akta Kesihatan Sekitaran Awam kerana disyaki menjaja barangan terpakai (seperti pakaian dan kasut) di tempat awam tanpa lesen yang sah dari SFA. Barangan yang dipamerkan untuk dijual turut dirampas.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan