Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

37 Masjid Lebih Selamat tawar 2 hingga 7 zon solat Jumaat mulai 20 Ogos

Mulai 20 Ogos ini, para jemaah yang sudah lengkap divaksin boleh menunaikan solat Jumaat di 37 masjid-masjid lebih selamat yang akan menawarkan ruang solat antara dua hingga tujuh zon. 

Anggaran Waktu Membaca:
37 Masjid Lebih Selamat tawar 2 hingga 7 zon solat Jumaat mulai 20 Ogos

Para jemaah beratur untuk memasuki Masjid A;-Falah bagi menunaikan solat Jumaat pada 17 Jul 2020. (Gambar: Rosli A Razak)

SINGAPURA: Mulai 20 Ogos ini, para jemaah yang sudah lengkap divaksin boleh menunaikan solat Jumaat di 37 masjid-masjid lebih selamat yang akan menawarkan ruang solat antara dua hingga tujuh zon.

Mengumumkan perkembangan itu di laman Facebooknya pada Selasa (17 Ogos), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan baki 29 masjid pula akan terus menawarkan hanya satu zon bagi solat Jumaat.

Penambahan lebih banyak ruang solat di masjid-masjid merata negara mulai Jumaat ini juga dikongsi oleh Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan, di Facebooknya semalam.

"Alhamdulillah dengan kesabaran dan istiqamah kita, keadaan bertambah baik dan masjid-masjid mampu membuka lebih banyak ruang solat bermula Jumaat ini, 20 Ogos," tulisnya.

Menurut MUIS, pendaftaran bagi tempahan 54,390 ruang solat Jumaat untuk 20 serta 27 Ogos sudahpun dibuka dari semalam melalui pautan https://ourmosques.commonspaces.sg serta aplikasi Muslim.sg.

Pendaftaran dibuka kepada sesiapa yang tidak berjaya menempah ruang solat Jumaat pada 6 atau 13 Ogos.

(Gambar: MUIS/Facebook)

(Gambar: MUIS)

Para jemaah perlu memastikan mereka sudahpun lengkap divaksin atau memenuhi peraturan PET ketika membuat tempahan ruang solat di Masjid-Masjid Lebih Selamat, menurut MUIS.

Ia menambah kanak-kanak berusia bawah 12 tahun boleh mengerjakan solat Jumaat tanpa menjalani PET, namun tertakluk kepada jumlah maksimum 20 peratus daripada bilangan keseluruhan jemaah.

(Gambar: MUIS/Facebook)

(Gambar: MUIS)

"Kami meminta kerjasama masyarakat supaya mengamalkan keadilan dan mengelakkan daripada membuat beberapa tempahan bagi memberi peluang kepada jemaah lain untuk menunaikan solat Jumaat mereka juga," pinta MUIS.

Bagi keselamatan mereka, MUIS amat menggalak warga emas yang belum divaksin agar mengerjakan solat di rumah masing-masing.

MUIS menambah pada minggu-minggu mendatang, ia akan bekerja rapat dengan masjid-masjid untuk menawarkan lebih banyak ruang solat yang selamat termasuk ruang untuk mengerjakan solat lima waktu.

Dalam pada itu, Dr Hannan menekankan betapa pentingnya untuk masyarakat Islam setempat terus beristiqamah demi memastikan kewajipan menunaikan solat Jumaat tidak lekang daripada kesedaran, hati dan minda mereka "selagi kita mampu melaksanakannya dengan bertanggungjawab".

"Ayuh kita pastikan solat Jumaat terus hadir dalam kesedaran hati dan minda kita. Kita terus usaha untuk mendapatkan tempat. Tetapi jika tidak dapat, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Mengasihani, dan Maha Pengampun," ungkapnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan