Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

37 kematian di tempat kerja pada 2021, lebih 600 kes cedera parah: MOM

Walaupun terdapat beberapa kemalangan maut, yang menyebabkan 11 kematian di tempat kerja pada Februari tahun lalu, jumlah keseluruhan kemalangan maut di tempat kerja pada tahun lalu setanding dengan paras sebelum pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Mar 2022 02:33PM Dikemas Kini : 29 Mar 2022 09:21PM

SINGAPURA: Walaupun terdapat beberapa kemalangan maut, yang menyebabkan 11 kematian di tempat kerja pada Februari tahun lalu, jumlah keseluruhan kemalangan maut di tempat kerja pada tahun lalu setanding dengan paras sebelum pandemik COVID-19.

Jumlah kematian merosot kepada 37 tahun lalu berbanding 39 pada 2019, menurut Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media hari ini (29 Mac).

Ini bermakna kadar serupa kematian di tempat kerja, iaitu1.1 bagi setiap 100,000 pekerja bagi kedua-dua tahun, menurut pihak berkuasa.

Data pada tahun lalu dibandingkan dengan 2019 memandangkan data pada 2020 terjejas oleh "kesan sekali" disebabkan oleh penggantungan aktiviti perniagaan dan kerja bagi membendung pandemik COVID-19.

Terdapat 30 kematian di tempat kerja dilaporkan pada 2020 dan kadar korban 0.9 bagi setiap 100,000 pekerja.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata Singapura "berada di landasan yang betul" untuk memenuhi sasaran Kesihatan dan Keselamatan di Tempat Kerja pada 2028 bagi mengurangkan kadar kematian ke paras bawah 1 bagi setiap 100,000 pekerja.

"Sejauh ini, hanya empat negara dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sudah mencapai sasaran itu. Kami merancang untuk menjadi salah satu negara yang dapat mencapai sasaran paras bawah 1. Ini merupakan matlamat kami dalam tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2028," katanya.

Keempat-empat negara itu adalah Belanda, Britain, Jerman dan Sweden.

Jumlah kes kecederaan parah juga merosot pada tahun lalu kepada 610 kes, berbanding 629 kes pada 2019. Namun mengambil kira tenaga kerja yang lebih kecil pada 2021, kadar kecederaan parah naik sedikit kepada 18.5 kes bagi setiap 100,000 pekerja - berbanding 18.1 pada 2019.

Bagi kes kecederaan ringan, peraturan baru mulai 1 September 2020 bermakna para majikan kini perlu melaporkan semua kes kecederaan di tempat kerja yang melibatkan cuti sakit atau pemindahan ke tugas lebih ringan. Sebelum ini, hanya kes kecederaan yang diberikan cuti sakit selama empat atau lebih hari perlu dilaporkan.

Dengan perubahan itu, terdapat sebanyak 21,539 kes kecederaan ringan pada 2021, yang 9,420 daripadanya merupakan kes kecederaan yang diberikan cuti sakit selama tiga hari atau kurang daripada itu atau dipindahkan untuk melakukan tugas lebih ringan. Kadar kes kecederaan ringan adalah 653 bagi setiap 100,000 pekerja.

Dengan mengambil kira hanya kecederaan yang diberikan cuti sakit selama empat hari atau lebih, kadarnya adalah 368 bagi setiap 100,000 pekerja - iaitu penurunan sedikit daripada 376 pada 2019.

KEMALANGAN LIBATKAN KENDERAAN PUNCA UTAMA KEMATIAN

Kemalangan melibatkan kenderaan terus menjadi punca utama berlaku kematian di tempat kerja pada tahun lalu. Menurut MOM, terdapat 11 kes sedemikian pada 2021, di mana enam adalah kemalangan jalan raya berkaitan pekerjaan.

Tergelincir, tersandung dan terjatuh merupakan punca utama kecederaan tidak menyebabkan kematian. Jumlah itu merosot daripada 216 kes pada 2019 kepada 208 pada 2021.

Insiden berkaitan jentera adalah satu lagi punca utama - di mana ia membentuk 63 kes kecederaan parah pada 2021, merosot daripada 82 pada 2019. Terdapat 3,162 kes kecederaan ringan berkaitan jentera pada 2021.

Mengikut industri, industri binaan serta pengangkutan dan penyimpanan membentuk jumlah kematian yang tertinggi.

Sebanyak 13 kes dilaporkan dalam industri binaan dan sembilan dalam industri pengangkutan dan penyimpanan pada tahun lalu.

Bersama, kedua-duanya merangkumi sekitar 60 peratus daripada keseluruhan jumlah kes kematian di tempat kerja pada 2021.

MOM menyatakan ia akan terus menangani punca utama kemalangan maut dengan menggunakan teknologi seperti sistem amaran pelanggaran dan sistem pemantauan tingkah laku pemandu bagi menangani kemalangan melibatkan kenderaan.

"MOM akan memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pendampingan untuk meningkatkan kesedaran kepada isu-isu utama WSH, termasuk tergelincir, tersandung, terjatuh dan penggunaan jentera secara tidak selamat," kata Encik Zaqy.

Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa program Pemantauan Kesihatan di Tempat Kerja (WHS+) akan dipertingkatkan bagi memastikan bahawa syarikat-syarikat melaksanakan langkah kawalan risiko yang berkesan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan