3.6kg heroin dirampas dalam serbuan dadah, 139 individu diberkas
Hampir 3.6kg heroin dirampas dan 139 individu ditangkap dalam serbuan dadah di seluruh Singapura sepanjang bulan Mei, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Sabtu (31 Mei).

Dadah yang dirampas dari sebuah bilik hotel di Geylang Lorong 10 dan sebuah kondominium di Tampines Street 86 pada Mei 2025. (Gambar: CNB)
Daripada 139 individu yang ditahan, yang paling muda ialah seorang pelajar berusia 14 tahun yang disyaki mengambil dadah.
Pegawai CNB menjalankan serbuan dari 18 hingga 30 Mei, merangkumi kawasan seperti Ang Mo Kio, Boon Keng, Bukit Merah, Jurong dan Sengkang.
Sepanjang operasi tersebut, dadah bernilai lebih S$626,700 dirampas. Selain heroin, 2.7kg ganja, 1.3kg ais, 155g ekstasi, 26g kokain dan lebih 200 pil Erimin-5 turut dirampas.
Para pegawai turut menemui 49 peranti vape yang disyaki mengandungi tetrahydrocannabinol, iaitu sejenis kanabinoid yang terdapat dalam ganja, serta 22 setem LSD.
LIMA INDIVIDU DIBERKAS DI TUAS
Pada awal pagi 23 Mei, CNB menjalankan serbuan di Tuas South Avenue susulan maklumat yang diterimanya.
Lima lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 34 tahun diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah. Dua daripada mereka cuba melawan ketika diberkas dan "kekerasan sewajarnya" digunakan untuk menundukkan mereka, menurut CNB.
Seorang lelaki berusia 23 tahun turut dilihat membuang bahan, termasuk 2g ganja. Seorang lagi ditemui dengan dadah ais.
Seorang lelaki berusia 32 tahun turut diberkas selepas 27g ganja ditemui di sebuah bilik dalam "penginapan kediaman" di kawasan itu.
HEROIN DALAM BILIK HOTEL DI GEYLANG
Pada 28 Mei, pegawai CNB menyerbu sebuah bilik hotel di Geylang Lorong 10 dan memberkas seorang lelaki berusia 46 tahun kerana disyaki mengedar dadah.
Pegawai terpaksa memecah masuk ke dalam bilik tersebut selepas lelaki itu enggan untuk membuka pintu.
Lebih 2.8kg heroin ditemui bersama 565g ais, 20g ganja, 24g ketamin, empat pil Erimin-5 dan wang tunai melebihi S$500.
Keesokan harinya, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Tampines Street 86 kerana disyaki mengedar dadah.
Beliau kemudian dibawa ke "tempat persembunyiannya dalam kondominium itu", menurut CNB. Di situ, pegawai menemui lebih 2kg ganja, 165g ais, 103g ketamin, 37g ekstasi, 26g kokain dan 22 setem LSD, serta pil Erimin-5 dan 49 peranti vape.
Pengarah Bahagian Risikan CNB, Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang, berkata: "Dadah yang kami rampas dalam operasi ini boleh memusnahkan banyak nyawa dan keluarga di Singapura."
"Mesej kami jelas – sesiapa yang memilih untuk mengaut keuntungan melalui penjualan dadah akan berdepan tindakan tegas CNB. Kami akan memburu pengedar-pengedar ini demi memastikan Singapura bebas dadah untuk komuniti kita."
Siasatan terhadap mereka yang diberkas masih dijalankan.
Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih 15g diamorfin atau heroin tulen, atau 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja boleh berdepan hukuman mati mandatori.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.