Skip to main content

Singapura

367 notis duduk rumah, 130 perintah kuarantin tidak dipatuhi sejauh ini

Sekitar 367 Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan 130 perintah kuarantin dilanggar setakat sehingga 25 Jan, menurut Menteri Negara Ehwal dalam Negeri (MHA) Muhammad Faishal Ibrahim pada Selasa (2 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Feb 2021 03:58PM Dikemas Kini : 02 Feb 2021 09:21PM

SINGAPURA: Sekitar 367 Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan 130 perintah kuarantin dilanggar setakat sehingga 25 Jan, menurut Menteri Negara Ehwal dalam Negeri (MHA) Muhammad Faishal Ibrahim pada Selasa (2 Feb).

Secara keseluruhannya, sebanyak 308,422 SHN dan 268,385 perintah kuarantin dikeluarkan setakat sehingga 25 Jan, tambahnya, dalam respons kepada pertanyaan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Louis Chua (WP-Sengkang).

Mereka yang melanggar SHN atau perintah kuarantin boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, kata Dr Faishal.

Sebagai contoh pada Julai tahun lalu, seorang rakyat tempatan dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan kerana mengelakkan diri daripada para pegawai kesihatan sebanyak empat kali ketika menjalani perintah kuarantin di rumah dan enggan mematuhi perintah tersebut, dedah Dr Faishal.

Agensi-agensi pemerintah juga boleh mengambil "tindakan pentadbiran" terhadap mereka yang melanggar SHN atau perintah kuarantin, menurut Dr Faishal.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada November 2020 membatalkan pas kerja empat individu yang melanggar SHN. Selain itu, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura ditarik balik statusnya sebagai penduduk tetap negara ini dan dilarang masuk semula Singapura setelah dia melanggar SHN, kata Dr Faishal di Parlimen.

Pemerintah juga melaksanakan pelbagai huraian teknologi untuk memantau para individu yang dikenakan SHN dan perintah kuarantin, dedah Dr Faishal selanjutnya, dengan penggunaan alat pemantauan elektronik diwajibkan ke atas mereka. Ini termasuk rakyat Singapura, PR, para pemegang pas lawatan jangka panjang dan jangka pendek.

"Sejak Ogos 2020, semua individu yang menjalani SHN di tempat kediaman mereka perlu memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh itu," kata Dr Faishal.

"Alat-alat itu diagihkan kepada para pelawat setelah melalui pelepasan imigresen dan alat itu perlu dihidupkan sebaik sahaja mereka tiba di tempat kediaman mereka," katanya, sambil menambah bahawa alat itu menggunakan isyarat GPS dan 4G atau Bluetooth bagi menentukan jika seseorang individu yang menjalani SHN berada di tempat kediaman mereka.

"Sepanjang tempoh SHN selama 14 hari, para individu yang memakai alat itu mungkin menerima pemberitahuan pada alat berkenaan dan mereka perlu memberikan respons tepat pada masanya."

Pihak berkuasa akan dimaklumkan jika terdapat sebarang percubaan untuk meninggalkan tempat kediaman atau percubaan untuk menggodam alat elektronik berkenaan. Pihak berkuasa akan menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya, kata Dr Faishal.

Begitu juga bagi mereka yang menjalani kuarantin yang turut dikehendaki memakai alat pemantauan elektronik tersebut bagi memastikan mereka tidak melanggar perintah kuarantin, katanya lagi.

Mengulas tentang aplikasi HOMER yang disebutkan oleh Encik Chua dalam pertanyaannya, Dr Faishal berkata aplikasi itu diperkenalkan pada April tahun lalu dan kini digunakan bersama dengan alat pemantauan elektronik itu.

"App HOMER menggunakan pengecaman wajah dan penjejakan lokasi bagi mengesahkan identiti dan lokasi (individu di bawah kuarantin) bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat perintah kuarantin."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita