Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

361 pelajar dilantik Rakan Bahasa 2024; main peranan penting sebagai generasi pelapis pengguna bahasa Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 360 pelajar dilantik sebagai Rakan Bahasa 2024 hari ini (19 Apr).

Rakan Bahasa dari lebih 180 sekolah itu berkumpul petang tadi di Singapore Discovery Centre, untuk sama-sama memulakan tugas baharu mereka dan menimba ilmu.

Mereka terdiri daripada para penuntut Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IHL).

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura

Ditugaskan untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakan-rakan dan keluarga mereka, para pelajar itu melafazkan ikrar berbentuk sajak untuk merasmikan tugas mereka.

Ia dikarang khas oleh Jawatankuasa Kecil Rakan Bahasa.

Pelantikan Rakan Bahasa itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim.

PELAJAR MAINKAN PERANAN PENTING SEBAGAI GENERASI PELAPIS

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura

Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting para pelajar itu sebagai generasi pelapis yang akan terus menggunakan Bahasa Melayu.

Oleh itu katanya, Jawatankuasa Bulan Bahasa memberi tumpuan utama kepada belia dalam sambutan Bulan Bahasa tahun ini.

"Dengan adanya pelantikan 361 Rakan Bahasa iaitu hampir satu Rakan Bahasa setiap hari sepanjang tahun. Kita mengharapkan mereka akan menggilap minat mereka dan lebih mendalami, cinta bahasa Melayu kita dan dengan perwatakan dan peranan mereka dalam keluarga ataupun sekolah, mereka akan menarik minat lebih ramai rakan-rakan dan keluarga mereka untuk menggunakan dan memperdalami penghayatan bahasa Melayu mereka," kongsi Encik Zhulkarnain.

"Saya mengharapkan lebih ramai ahli masyarakat kita terutamanya belia kita bergiat dalam aktiviti-aktiviti bulan bahasa dan menggunakan bahasa kita dengan cara mereka yang tersendiri supaya mereka dapat hidupkan inisiatif-inisiatif masyarakat kita," tambahnya.

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura

Para pelajar juga dinasihatkannya agar tidak berasa takut untuk gunakan bahasa Melayu.

"Jangan gerun atau mungkin ada sikap gemuruh apabila menggunakan bahasa Melayu kerana kalau kita tidak kenal maka tidak cinta. (Jadi) harus menggunakan bahasa Melayu. Kalau tidak betul ataupun sempurna pada mulanya, akan tetap menjadi sempurna dalam prosesnya," ujarnya.

RAKAN-RAKAN BAHASA TERUJA TAPI GEMENTAR DILANTIK

Alyaa dan Aydin. (Gambar: Nabilah Mohd Rashid)

Antara yang dilantik sebagai Rakan Bahasa ialah Mohamed Aydin Saha Mohamed Khaliq dari Sekolah Menengah Commonwealth.

Meskipun gementar dengan pelantikan itu buat pertama kalinya, namun Aydin tetap bangga menjadi Rakan Bahasa.

"Saya akan menonton lebih banyak rancangan bahasa Melayu supaya saya lebih mahir dalam bahasa Melayu dan dengan itu saya boleh berkongsi dengan kawan-kawan saya informasi tentang bahasa Melayu seperti Berita atau cerita-cerita dalam televisyen," kongsi Aydin.

"Saya (juga) boleh menunjukkan filem-filem bahasa Melayu atau lagu-lagu bahasa Melayu agar mereka dapat tahu tentang budaya dan bahasa Melayu dan lebih cinta budaya bahasa Melayu ini," tambahnya.

Perasaan yang sama turut dikongsi lagi seorang Rakan Bahasa dari Sekolah Menengah Commonwealth, Nur Alyaa Farzana Muhammad Hafiz.

"Saya rasa gembira tetapi saya juga bimbang kerana saya tidak tahu sejauh mana saya boleh menjalankan tugas saya sebagai Rakan Bahasa," luah Alyaa.

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura

Namun begitu, beliau bertekad untuk mempersiapkan dirinya untuk menjalankan tugas sebagai Rakan Bahasa dengan baik.

"Saya boleh memberi pendedahan buat diri saya dengan bertanya ibu bapa saya tentang filem-filem bahasa Melayu dan menonton filem-filem tersebut dengan mereka," kongsi Alyaa.

Beliau juga berharap dapat menggalak penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakan-rakan sekolahnya.

"Saya boleh berbual dalam bahasa Melayu dengan rakan-rakan saya dengan lebih kerap kerana ada yang tidak berbual dalam bahasa Melayu di rumah selalu dan mereka tidak yakin dalam bahasa Melayu mereka," ujar Alyaa.

RAKAN BAHASA DAPAT SERTAI SESI LATIHAN PENULISAN SKRIP

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura

Di majlis yang sama, para Rakan Bahasa itu juga berpeluang sertai satu sesi latihan penulisan skrip di mana mereka mempelajari tentang cara menulis skrip dengan menarik dan intonasi suara.

Ini bagi membantu mereka dalam Pertandingan TeeVers 2024 yang buat julung-julung kalinya menerapkan format baharu iaitu format drama-audio.

Ia merupakan antara program menarik yang boleh dijangkakan untuk para Rakan Bahasa tahun ini, selain Penterjemah Pintar 2024 dan Kembara Rakan Bahasa.

Program-program ini diharap dapat mendalami rasa cinta mereka terhadap bahasa Melayu dan membina keyakinan mereka dalam penggunaannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan