Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

36 individu didakwa tipu lebih S$11.8 juta melalui skim PIC

Seramai 35 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan-kesalahan berkaitan penipuan skim Kredit Produktiviti dan Inovasi (PIC) membabitkan S$11.8 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
36 individu didakwa tipu lebih S$11.8 juta melalui skim PIC

(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)

Diterbitkan : 30 Aug 2021 01:52PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 01:54PM

SINGAPURA: Seramai 35 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan-kesalahan berkaitan penipuan skim Kredit Produktiviti dan Inovasi (PIC) membabitkan S$11.8 juta.

Demikian menurut polis dalam satu kenyataan hari ini (30 Ogos).

Mereka dikaitkan dengan syarikat-syarikat yang didakwa menyerahkan tuntutan-tuntutan palsu kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) antara 2014 dengan 2016 di bawah skim tersebut.

Skim PIC, yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2010, menawarkan potongan cukai dan/atau memberi elaun kepada para peniaga yang membuat pelaburan dalam kegiatan-kegiatan daya pengeluaran dan inovasi.

Syarikat-syarikat sedemikian boleh membuat tuntutan sebanyak 400 peratus dalam potongan cukai atau elaun bagi perbelanjaan yang layak sehingga S$400,000.

Para peniaga juga diberikan pilihan untuk menukar sehingga S$100,000 daripada jumlah perbelanjaan mereka bagi setiap tahun penilaian kepada bayaran tunai tanpa dikenakan bayaran cukai berbanding membuat tuntutan potongan cukai.

Skim tersebut tamat tempohnya selepas tahun penilaian pada 2018.

"Kesemua 36 individu itu didakwa gagal menyelia hal ehwal syarikat-syarikat tersebut. yang mana mereka merupakan pengarahnya, ataupun bersubahat dengan orang lain untuk mendaftar diri sebagai pengarah syarikat yang tidak terlibat dalam penyeliaan hal ehwal syarikat atau melakukan kedua-dua perkara yang disebutkan itu," tambah polis.

Dalam kalangan mereka adalah tiga individu yang sebelum ini didakwa atas beberapa kesalahan berhubung tuntutan-tuntutan sedemikian. Ini termasuk menipu dan menggelapkan wang.

Enam individu pula didakwa atas kesalahan sengaja memutarbelitkan proses keadilan dengan menipu atau menghasut orang lain agar menipu kepada polis ketika disoal siasat.

Atas kegagalan melakukan tanggungjawab mereka sebagai pengarah, seseorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$5,000 di bawah Akta Syarikat-Syarikat. Jika sabit kesalahan, jawatan pengarah pesalah berkenaan boleh ditarik.

Mereka yang didapati bersalah sengaja memutarbelitkan proses keadilan boleh dijel sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa